Aktiviti penipuan atau lebih dikenali sebagai ‘scam’ semakin berleluasa ketika ini.

Pelbagai taktik digunakan oleh sang penipu (scammer) untuk menipu orang ramai tidak kira secara berhadapan mahu pun atas talian.

Botol Percuma Dengan Kod QR Mencurigakan

Terbaharu, tular taktik yang didakwa satu cara penipuan di mana pihak yang tidak dikenali memberikan botol secara percuma dan diletakkan di atas pagar-pagar rumah penduduk taman perumahan.

Walaupun nampak normal, botol-botol itu bagaimanapun mempunyai kod QR yang dicop ke atasnya serta jaminan RM200 baucar tunai untuk sesiapa sahaja yang mengimbas kod berkenaan.


Pihak Berkuasa Harap Orang Awam Peka

Oleh kerana kebimbingan yang disuarakan ramai pihak, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkongsi pihak polis masih lagi belum menerima sebarang aduan berhubung isu yang dikemukakan, namun, dirinya mengingatkan ia tidak bermaksud bahawa kod QR di botol-botol percuma itu selamat untuk diimbas.

“Ini tak bermaksud kod QR itu selamat untuk diimbas. Orang awam perlu sentiasa peka dan tidak mengambil risiko hanya untuk mendapatkan keuntungan. Perlu ingat, tak ada benda yang boleh didapatkan dengan mudah.

“Sesetengah kumpulan scammer menggunakan teknik ini sebagai salah satu cara untuk mengumpan mangsa-mangsa mereka,” ujarnya.

Sekadar info, sebelum ini viral di Platform X memaparkan seorang penduduk di sebuah taman perumahan berkongsi mendapat satu botol secara percuma dengan kod QR di atasnya.

Entri itu meraih ribuan tontonan serta membangkitkan kerisauan dalam kalangan warganet tentang modus operandi scammer yang semakin licik dan bijak dalam mengenakan mangsa.

BERITA TRENDING:Wanita Minta Sedekah ‘Kantoi’ Pandu Kereta Honda CRV, Mengaku Tak Berduit - “Ini Kereta Kawan Saya…”

Sumber: Kosmo!