Lebih tiga dekad dalam industri muzik tanah air, legasi dibina penyanyi bersuara luar biasa, Anuar Zain terus utuh. Semestinya didambakan peminat, Anuar kini tampil mengubat kerinduan dengan single terbaru berjudul Sendiri.

Bekerjasama dengan komposer tersohor, Farouk Roman, dan penyanyi meningkat naik, Aisha Retno selaku penulis lirik, single ini tentu mempunyai kelebihan tersendiri.

Mengenali Anuar, dia sangat teliti dalam aspek pemilihan lagunya. Menurutnya, keaslian dan keikhlasan luhur Farouk dan Aisha dalam karya ini amat dia kagumi.

“Kekuatan lagu ini adalah pada melodi dan liriknya yang ringkas serta mudah berhubung kait.

"Secara keseluruhannya lagu ini sangat baik dan bahagian yang paling saya suka adalah pra korusnya. Selepas mendengarnya sekali, saya sungguh tertarik dengan lagu ini.

"Kali kedua mendengarnya pula, melodi dan liriknya terus melekat di hati saya," kata Anuar.

Tambah Anuar, hasil kerja Farouk dan Aisha dihasilkan dengan keikhlasan kerana keduanya mahukan hasil yang berkualiti.

“Lagu Sendiri adalah amat tepat dengan jiwa saya. Karya Farouk dan Aisha datang dari dalam sanubari mereka dan inginkan sesuatu yang berkualiti.

"Sekali gus dapat memberikan halwa telinga yang baik buat penggemar muzik tanahair. Mereka adalah pengkarya muzik yang sangat cemerlang, ikhlas, dan teliti didalam penghasilan lagu,” tambahnya.

Sudah lama tidak ke studio rakaman, sudah pasti menarik untuk mendengar perkongsian pengalaman daripada Anuar sendiri.

“Sesi rakaman berjalan dengan santai dan sangat menyeronokkan. Kami berkerjasama didalam keadaan yang harmoni. Kami bertukar-tukar pandangan mengenai bagaimana lagu ini harus disampaikan sebaiknya produser vokal, Afif Tirmizie, Farouk Roman, dan Aisha Retno. Masing-masing begitu prihatin bagaimana lagu Sendiri harus disampaikan sebaiknya," katanya lagi.

Dalam pada itu, Anuar juga mengharapkan agar single terbarunya itu mendapat sambutan yang baik daripada peminat.

"Semestinya saya mengharapkan karya ini akan beroleh kejayaan serta dapat membawa industri muzik kita tahap yang lebih tinggi.

"Jutaan tahniah buat Farouk Roman, Aisha Retno, Bajai (penggubah muzik), Afif Tirmizie (produser vokal), Fadly (jurutera bunyi), dan Sony Music Malaysia atas kerjasama yang sangat baik,” katanya.

Sendiri boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.