Filem terbitan oleh dua penerbit besar tanah air, Astro Shaw dan Skop Productions iaitu Penunggang Agama telah berjaya meraih kutipan RM 2 juta dalam tempoh 2 minggu ia ditayangkan di Pawagam Rumah Anda, Astro First.

Rata-rata penonton telah berkongsi respon positif di media sosial. Bukan itu sahaja, peminat di negara jiran juga turut membanjiri ruangan komen dengan melahirkan rasa keterujaan untuk menonton filem pengarah hebat, Syafiq Yusof.

Menariknya, topik dan mesej utama yang diselitkan dalam filem bukan sahaja hangat diperkatakan oleh peminat, tetapi ia turut mendapat perhatian daripada penggiat seni tempatan dan para selebriti terkenal tanah air.

Rentetan daripada kejayaan itu, pihak penerbit tidak teragak-agak untuk terus bergerak proaktif dengan
membawa filem tersebut untuk ditayangkan di pawagam Singapura bermula 15 April 2021.

Ini menjadikan Penunggang Agama adalah filem pertama yang menembusi pasaran pawagam di luar negara semenjak pandemik Covid-19. Penunggang Agama akan ditayangkan di pawagam Cathay menerusi 8 lokasi seperti AMK Hub, The Cathay, Orchard Cinelesirure, Downtown East, West Mall, JEM, Causeway Point dan
Parkway Parade.

BACA: Perghh Hebat! Filem Penunggang Agama Kutip RM1 Juta Dalam 6 Hari Tayangan

Menurut Syafiq, Penunggang Agama adalah percubaan pertamanya dalam menghasilkan sebuah konten berelemenkan islamik dan khas dibuat untuk tayangan di Astro First.

"Alhamdulillah, kerja keras saya bersama kru dan barisan pelakon telah menerima respon positif daripada penonton dan saya ingin ambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton yang telah melanggan filem ini di Astro First.

"Saya anggap kejayaan filem Penunggang Agama adalah sokongan yang diberikan daripada peminat dan penonton untuk saya terus perbaiki dan hasilkan karya yang mengikut citarasa penonton.

"Saya juga rasa teruja kerana naskhah yang saya hasilkan akan ditayangkan di pawagam negara jiran. Setelah hampir setahun lebih ekoran pandemik Covid-19, banyak filem tidak dapat ditayangkan di layar besar.

"Saya harap selepas kehadiran filem ini di Singapura, ia akan dibawa pula ke pawagam tempatan dan
sekali gus mampu menaikkan lagi keterujaan penonton kita untuk kembali menikmati pengalaman
menonton di panggung wayang," kata Syafiq.

Sementara itu Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, filem Penunggang Agama telah berjaya berada di dalam top 10 filem yang meraih kutipan tertinggi di Astro First sepanjang masa pada hari ke 18 tayangan.

"Saya mewakili pihak penerbit ingin mengucapkan terima kasih kepada penonton atas sokongan terhadap filem tersebut di platform Malaysia’s Largest Home Cinema, Astro First.

"Atas kejayaan luar biasa, pihak penerbit merasakan ini adalah masa yang tepat untuk membawa filem ini ke Singapura dan ditayangkan melalui 8 buah pawagam. Kami juga ada membuat perancangan untuk membawa karya ini di pawagam tanah air bagi memberi peluang penonton merasai senimatik yang berbeza.

"Insyaallah, kami akan umumkan kelak. Saya berharap, Penunggang Agama akan menjadi pembuka ruang untuk filem-filem tempatan yang lain turut ditayangan di Singapura selepas setahun lebih filem tempatan tidak dapat ditayangkan di pawagam Singapura," katanya.

Filem Penunggang Agama dilakonkan oleh barisan pelakon hebat antaranya Zul Ariffin, Azira Shafinaz, Nasir Bilal Khan, Sabrina Ali, Salina Saibi, Datuk Jalaludin Hassan, adik Puteri Nurqaseh dan Johan As'ari.

Jadi, bagi anda yang belum menonton, jangan lupa saksikan Penunggang Agama yang sudah berada di pawagam rumah anda, Astro First.

Untuk melanggan sila ke saluran 480, juga boleh strim di Astro GO atau On Demand.

Setiap langganan RM15, penonton berpeluang menonton naskah tersebut berulang kali dalam tempoh 48 jam.