Penyanyi Rap, Altimet mengesahkan bahawa dirinya secara rasmi telah bersara sebagai penyanyi selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-40, semalam.

Menurut Altimet, dia telah menolak beberapa tawaran persembahan selepas ini walaupun menerima bayaran yang tinggi.

"Selepas ini saya tidak akan melakukan persembahan dan menerima sebarang tawaran nyanyian lagi.

"Selepas album terakhir ini tiada lagi persembahan saya di atas pentas dan saya akan berhenti menyanyi sebagai seorang rapper.

"Namun pada bulan Februari tahun depan saya akan mengadakan satu konsert untuk para peminat kerana ia telah dirancang sejak awal-awal saya menjejakkan kaki ke dalam industri.

"Sebelum ini saya telah rancang untuk terbitkan album terakhir dan adakan konsert pada November 2018, namun diatas sebab-sebab tertentu saya harus adakan konsert ini pada bulan Februari tahun depan.

"Bermula hari ini (Selasa), sehingga Februari tahun depan saya tidak akan muncul buat apa-apa persembahan termasuklah dalam Anugerah Juara Lagu 33," katanya kepada Gempak.

Altimet berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album terakhir berjudul 0 di General Space, Petaling Jaya pada Selasa.

Orang ramai boleh dapatkan album O, di pasaran melalui tempahan awal (Pre-order) menerusi platform digital bermula 7 Disember dan secara fizikal pada 21 Disember ini.