Laman Utama
Bersiaran Tanpa Penonton, AJL35 Ditetapkan 14 Mac Ini
Selepas sebulan ditunda, Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35) dijadualkan bersiaran secara langsung tanpa penonton pada 14 Mac depan dari Auditorium MBSA, Shah Alam, jam 9 malam.
Tarikh baharu AJL35 tersebut diumumkan oleh pengacara Sherry Alhadad dan Haziq Hussni menerusi program Muzik-Muzik 35 sebentar tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad & Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, pihaknya sudah bersedia menganjurkan AJL35 dalam pendekatan norma baharu.
"Penularan pandemik COVID- 19 membuatkan kami lebih menitikberatkan soal keselamatan kakitangan, artis dan mereka yang terbabit menjayakan produksi ini.
"Kami memanfaatkan kebenaran dan kelonggaran diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berkuatkuasa sejak 8 Januari lalu.
"Perancangan teliti dibuat bagi memastikan kelancaran acara berprestij ini, jadi AJL35 bakal bersiaran pada 14 Mac ini tanpa penonton," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, katanya, tarikh berkenaan bukanlah muktamad kerana perlu akur dengan sebarang ketetapan yang bakal diumumkan oleh MKN dari semasa ke semasa berkaitan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Terdahulu, AJL35 sepatutnya berlangsung pada 7 Februari lalu di Auditorium MBSA, Shah Alam, namun telah ditunda disebabkan tempoh PKP yang dilanjutkan.
AJL35 dihoskan Sherry Alhadad, Haziq Hussni dan Awal Ashaari.
Pada saringan terakhir yang diadakan Disember lalu, 12 lagu layak ke pentas akhir antaranya Semalam nyanyian Aina Abdul, Gila (Kaka Azraff, Noki dan Loca B), Hutang (Floor 88), Eh (Zizi Kirana) dan banyak lagi.
Must-Watch Video