Pelakon dan penyanyi Betty Rahmad berkongsi kisah hijrahnya yang kini sudah lengkap bertudung sejak awal minggu ini.

Kata Betty atau nama sebenarnya Norsha Rahmad, 40, hatinya tersentuh setiap kali berdoa selepas mendirikan solat termasuk melihat perkembangan anaknya, Ardy Wira yang kini sudah pandai mengaji al-Quran.

"Sebenarnya ini semua doa, setiap kali solat saya akan berdoa untuk menjadikan saya lebih baik, diberi hidayah dan dijadikan orang beriman. Saya terdetik, saya tengok anak saya dah pandai mengaji dan baca iqra manakala saya yang dah umur berapa ni tak lancar lagi.

"Kemudian saya sertai kelas mengaji atas talian bersama Nabila Huda. Dalam kelas itu, kami akan mengamalkan bacaan surah Ar-Rahman dan Al Waqiah setiap pagi Isnin hingga Jumaat.

"Sepanjang proses itu juga pada setiap pagi saya akan bangun pukul 4.30 pagi, mendirikan solat sunat tahajjud, solat sunat taubat, berdoa dan menghabiskan masa duduk depan balkon mengaji Al-Quran menerusi kelas atas talian itu.

"Namun, saya tersentak setiap kali membaca ayat yang bermaksud 'nikmat Tuhan yang mana engkau dustakan?'. Betapa powernya surah-surah itu!

"Setiap hari saya terfikir, daripada dulu apa saya nak Allah beri, saya dapat suami baik dan penyayang, anak yang bijak serta ada bisnes yang masih berjalan sedangkan orang lain struggle. Saya sudah jalankan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri tetapi saya belum menutup aurat," ujarnya dalam sesi siaran langsung di Instagramnya pada petang Khamis.

Betty juga mengejutkan pengikut di Instagramnya apabila terlebih dahulu berkongsi fotonya lengkap berhijab biru dan memakai kemeja putih. Dalam kapsyennya, Betty menulis; "Thank you Allah, doakan saya ya semua."



Dalam pada itu, Betty turut akui kisah yang menyentuh hati tentang kehidupan dan cintanya Allahyarhamah Siti Sarah sedikit sebanyak menggerakkan hatinya untuk berhijrah.

"Sebelum arwah Siti Sarah sakit, seminggu tu saya ada order tudung dia. Tapi saya tak beritahu dia pun, kalau saya DM nak beli mesti dia tak bagi.

"Jadi, lepas beli, saya tunjuk pada suami, dia tanya nak pakai ke? Saya jawab belum lagi tapi memang terdetik nak belajar.

"Saya tak pandai nak pakai macam mana, memang struggle sangat! Lepas arwah meninggal dunia, saya putuskan betul-betul saya nak pakai tudung.

"Ketika membaca doa akhir tahun hijrah, saya nak pakai tudung sebab saya dah tak ada apa lagi saya nak. Saya tak tahu apa nak dikejar lagi.

"Saya rasa Allah sayang saya sangat, semua benda dipermudahkan. Ada je rezeki masuk," ujarnya yang baru menambah beberapa koleksi tudung sejak semalam.

Sesi siaran langsung itu turut disertai kakak-kakaknya, Eirma Fatima dan Datin Umie Aida yang masing-masing terharu dan terkejut dengan perubahan Betty hingga menitiskan air mata.