Kecoh di media sosial apabila seorang warga asing bertindak menggunakan kekerasan terhadap penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Difahamkan, penguat kuasa tersebut yang sedang menjalankan tugas di hadapan sebuah bank di Selayang, pada Jumaat.

Menerusi video yang tular, kelihatan warga asing itu mengeluarkan kata-kata kesan selain dikatakan meludah kepada pegawai berkenaan.

Namun, terbaru, pasangan suami isteri itu telah pun ditahan pihak polis.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Heisham Harun, pihaknya menerima laporan daripada penguat kuasa DBKL tersebut pada 6.41 petang melibatkan dua warga asing yang enggan bekerjasama dan melakukan provokasi agresif.

“Semasa penguat kuasa DBKL tersebut sedang melakukan rondaan, mereka terserempak dengan dua warga asing sedang berniaga di kawasan kaki lima bank tersebut dan bertindak menyita barangan mereka.

“Namun pasangan suami isteri itu bertindak menepis tangan pihak berkuasa yang sedang merakam video sehingga menyebabkan telefon bimbitnya jatuh dan rosak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Heisham berkata pasangan suami isteri itu turut mengeluarkan kata-kata kesat dan meludah ke arah muka seorang daripada penguat kuasa DBKL.

Selain itu, pasangan tersebut mengoyakkan baju sendiri serta menuduh perbuatan tersebut dilakukan penjawat awam tersebut bagi mengelak dirinya ditangkap.

“Suspek kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bermula hari ini sehingga 22 April bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.