Sekilas
- Keith Foo percaya dengan kewujudan penyakit ain atau evil eye, menyebabkan dia lebih berhati-hati berkongsi hal peribadi termasuk hubungan cintanya dengan Riena Diana.
- Dia mengutamakan privasi dan memilih untuk tidak berkongsi perselisihan faham dalam hubungan mereka secara terbuka di media sosial.
- Keith dan Riena mula bercinta sejak Jun 2024 dan sedang merancang masa depan bersama tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenai perkahwinan.
Pelakon, Keith Foo, 42, mengakui dirinya percaya dengan kewujudan penyakit ain atau evil eye membuatkan dia lebih berhati-hati dalam berkongsi hal berkaitan kehidupan peribadi, termasuk hubungan cintanya bersama pelakon, Riena Diana.
Menurut Keith, dia sememangnya seorang yang lebih mementingkan privasi dan berpendapat tidak semua perkara dalam kehidupan perlu dikongsikan kepada umum.
“Tidak ada apa-apa yang saya mahu elakkan. Cuma, bagi saya, ada perkara melibatkan isu dan kehidupan peribadi yang lebih baik disimpan sendiri.
“Kalau berkaitan kerja, memang kami akan kongsikan semuanya. Namun, dalam perkara tertentu, kita perlu tahu batas masing-masing.
“Penyakit ain itu juga sesuatu yang saya percaya,” ujarnya.
Keith berkata demikian ketika ditemui di acara ‘Watch Party’ bersama barisan pelakon drama Suamiku Anak Mak bertempat di Kingston Hotel 10 by iBilik, Bukit Jalil pada Khamis.
Tambah Keith lagi, ibunya juga sering mengingatkan dirinya dan Riena supaya lebih berhati-hati dalam berkongsi hal berkaitan kehidupan peribadi.
“Ya, dalam kepercayaan saya pun ada perkara yang sama. Kami memanggilnya evil eye.
“Ibu saya selalu berpesan mengenai perkara seperti itu. Kadang-kadang, dia turut memberitahu Riena. Ibu sentiasa mengingatkan kami berdua,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai hubungannya dengan Riena, Keith menjelaskan setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam mengekspresikan diri, terutama ketika berdepan konflik dalam perhubungan.
Jelasnya, perselisihan faham merupakan perkara biasa dalam sesebuah hubungan kerana ia sebahagian daripada proses mengenali dan memahami antara satu sama lain.
Bagaimanapun, Keith lebih selesa untuk tidak berkongsi atau mengulas secara terbuka di media sosial sekiranya berlaku perselisihan faham antara mereka.
“Saya seorang yang lebih mementingkan privasi. Namun, saya rasa perkara tertentu bergantung kepada individu dan bagaimana mereka mengekspresikan diri masing-masing.
“Bagi saya, ada kalanya saya memilih untuk tidak berkata apa-apa atau melibatkan sesiapa.
“Dalam apa jua hubungan, pertengkaran itu perkara biasa. Kalau tidak ada perselisihan faham, bagaimana kita hendak menyesuaikan diri dan mengenali satu sama lain?
“Saya rasa itu normal. Apa yang penting, hubungan kami semakin kukuh dari hari ke hari. Kami berdua fokus kepada kerjaya masing-masing dan tahu apa yang kami mahukan untuk masa depan bersama,” jelasnya.
Sebelum ini, Ketih memaklumkan mempunyai perancangan bersama Riena untuk membawa hubungan mereka ke arah lebih baik.
Bagaimanapun, Keith tidak memperincikan tarikh atau perancangan lanjut mengenai perkahwinan mereka.
Untuk rekod, Riena dan Keith mula menjalin hubungan cinta sekitar Jun 2024 selepas terlibat dalam penggambaran drama Salju Rindu.