Pelawak Indonesia, Rina Nose tidak berkecil hati dengan pandangan netizen terhadap gaya pengacaraannya di Konsert Big Stage 5 minggu pertama pada Ahad lalu.

Menganggap komen netizen sebagai lumrah anak seni, Rina berkata dia juga manusia biasa yang tidak mampu memuaskan hati semua orang.

“Kalau respon di auditorium nampaknya okay tetapi respon di Twitter seperti biasa ada ada yang suka ada yang tidak.

“Tetapi saya rasa perkara itu neutral, biasa. Ada orang suka dan sebaliknya. Itu normal. Bagi saya ia bukanlah satu masalah yang besar,” katanya ketika ditemui Gempak.

Mengulas mengenai tugasnya sebagai his Big Stage 5, Rina akui ada membuat persediaan sebelum menerima tawaran.

“Saya tonton terlebih dahulu Big Stage yang sebelum ini dan saya banyak bertanyakan pada orang mengenai program ini.

“Sebagai contoh konsep rancangannya apa, acaranya seperti apa, pesertanya pula bagaimana. Saya perlu tahu dulu sebelum menerima tawaran.

“Ini merupakan pengalaman baru bagi saya. Saya harus cuba menjadi pengacara di luar Indonesia.

“Saya biasa melihat penyanyi Indonesia banyak juga di Malaysia tetapi untuk hos… Kerana kita mesti bertutur dengan banyak jadi itu mungkin adalah satu cabaran.

“Tetapi saya akan cuba memperbaiki dan melakukan yang terbaik minggu demi minggu,” ujarnya.

BACA: #BIGSTAGE5: Didukung Kak Lina & Kolar Baju Ditarik, Rina Rose - “Semuanya Berlaku Secara Spontan…”

Terdahulu, netizen meluahkan rasa kurang senang dan melabelkan gaya pengacaraan Rina terlalu over selain melihat aksi lucu yang dilakukan juga tidak neutral.

Dihoskan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose, Big Stage 5 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 10 minggu setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104).

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, Big Stage 5 juga boleh di strim di aplikasi Astro Go.

Big Stage 5 juga turut menampilkan Aina Abdul dan Ajai sebagai juri tetap dan akan dibantu juri jemputan setiap minggu.

Bintang yang bersaing dalam Big Stage 5 adalah Isaac Voo, Firdaus Rahmat, Meer Nash, Naufal Azrin, Aufahanie, Puteri Khareeza, Putera Muhammad, Nadeera Zaini, Dem Lepak Boyz (Duo) serta kumpulan M-pop perempuan, COEX yang terdiri daripada Mikaela Qistina, Amy Loh, Dalini, Eyqa Shahidan dan Elysha Khan.

Manakala bintang luar negara pula adalah Farhan Shah (Singapura), HoonDoo (Korea) dan Waode (Indonesia).

Sepanjang penganjuran, Big Stage telah menobatkan empat juara iaitu Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan, Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan terbaharu, Elica Paujin (2022).