Penyanyi kelahiran Sabah, Isaac Voo menjadi peserta pertama yang tersingkir daripada rancangan realiti hiburan popular Big Stage 5.

Isaac, 28, yang juga anggota kumpulan IN2IT tersingkir menerusi Imuniti-X yang digunakan juri profesional, Ajai bagi menyelamatkan Naufal Azrin yang sepatutnya menjadi peserta pertama tersingkir.

Isaac yang menyanyikan lagu Terhangat Di Pasaran (KRU) gagal menambat hati juri yang dilihat masih belum bersedia untuk bertanding di pentas besar seumpama Big Stage.

“Saya perlu menyelamatkan peserta yang mempunyai masa depan dalam pertandingan ini.

“Saya tak kata kamu tak bagus, tapi kamu mungkin lebih sesuai menjadi artis rakaman,” kata Ajai.

Bertemakan Flex Your Beat, 13 peserta Big Stage 5 diadili oleh juri tetap Ajai dan Aina Abdul serta juri jemputan, Andmesh Kamaleng.

Nadeera Zaini memenangi anugerah Dominasi Persembahan Terbaik, hasil pilihan juri-juri profesional. Pemenang membawa pulang wang tunai RM3,000.

Di bawah merupakan kedudukan peserta berdasarkan markah oleh juri profesional.

1. Nadeera Zaini - 85.67%
2. Waode - 84%
3. Putera Muhamamd - 68.67%
4. Hoondoo - 67.67%
5. Coex - 61.33%
6. Firdaus Rahmat - 60%
7. Farhan Shah - 58.67%
8. Puteri Khareeza - 42.33%
9. Meer Nash - 41.33%
10. Dem Lepak Boysz - 41%
11. Naufal Azrin - 38%
12. Aufahanie - 37%
13. Isaac Voo - 36.33%

Pertandingan ‘Big Stage’ telah menobatkan empat juara sepanjang penganjurannya yang terdiri daripada Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan Elica Paujin (2022).

‘Big Stage 5’ akan berlangsung selama sepuluh (10) minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam mulai 7 Mei, setiap Ahad, jam 9 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104).

Untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.