Pelakon Elfira Loy kini menghitung hari menantikan kelahiran bidadari syurganya tidak lama lagi.

Sungguhpun teruja, namun, jiwa keibuan Elfira dicuit risau apabila mengenangkan kembali saat-saat kelahiran putera sulungnya, Muhamad Rayyan Khalaf Muhamad Faris yang dianggap tidak mudah.

Justeru, menerusi hantaran di Instagram, Elfira meminta pandangan pengikutnya untuk berkongsi kembali tips bagi memudahkan proses bersalin.

“Kami bakal beraya berempat tahun ini. Syukur alhamdulillah.

“Untuk sekarang, saya hanya ingin mendoakan kelahiran yang lancar. Bila fikir balik, takut sangat. Mine was not easy last time. Dua hari contraction kuat. 10 jam dalam bilik bersalin. Barulah Abang Rayyan (anak pertama Elfira) keluar.

“Tapi Insya-Allah, dengan kehendak Allah, segalanya akan baik-baik kali ini. Tak pasti tips apa yang betul-betul berkesan nak cepat bersalin. Cuba share balik,” tulisnya sambil meminta pandangan orang ramai.

Menerusi ruangan komen, ramai yang memberikan pelbagai saranan kepada Elfira bagi menempuhi kelahiran keduanya.

“Untuk tips saya pula, satu je saya fikir waktu hamil, nak mudah bersalin. Bila kita mudahkan urusan orang lain, Allah pasti mudahkan urusan kita. Alhamdulillah memang mudah sangat, sakit contractions tu takda sangat, hanya 10 ke15 minit keluar baby. Semoga Allah permudahkan urusan mereka yang nak bersalin,” kongsi seorang netizen.

Dalam pada itu, ada juga yang memberitahu sakit bersalin juga bergantung kepada diri masing-masing.

“Tiada tips… semua atas rezeki dan badan. Tu je boleh cakap. Just jangan berhenti zikir. Dah dua orang keluar, macam tu juga sakitnya,” tulis seorang pengikut Elfira.

Elfira mendirikan rumah tangga bersama Khairol Faris Anuar pada 1 Januari 2019. Mereka menerima kelahiran Rayyan pada 1 Oktober 2019.