Ibu kepada penyanyi muda Ismail Izzani, Datin Suliza Salam enggan leka dan sentiasa mencari bukti sewajarnya setiap kali anaknya terpalit dengan kontroversi.

Kata Suliza, Ismail beruntung kerana memiliki ibu yang pernah berada dalam industri hiburan dan boleh membimbingnya daripada melakukan khilaf yang tidak patut.

"Mungkin sekarang Ismail Izzani sedang popular, kalau orang tak kenal mungkin orang tak kisah pun dengan apa yang berlaku.

Kalau perkara itu bukan berpunca daripada pihak kita, saya tak mahu memanfaatkan individu terbabit. Jadi, cepat-cepatlah insaf!

"Kalau nak menyebarkan fitnah, biarlah berpada-pada. Kalau kena pada diri sendiri nanti macam mana?" ulasnya kepada Gempak.

Akui kepesatan teknologi mendorong dan memudahkan individu menyebarkan fitnah untuk menjatuhkan seseorang individu, tambah Suliza apa yang boleh dilakukan setiap hari hanya berpesan.

"Teknologi sekarang terlalu mudah membuka ruang untuk orang menyebarkan fitnah.

"Jadi apa yang saya boleh buat cuma pastikan dia (Ismail) daripada melakukan perkara-perkara bodoh itu. Melainkan hal itu di luar kawalan saya misalnya ada yang cuba memerangkapnya.

"Bak kata orang tua-tua, kalau nak keluar rumah langkah kaki kanan, baca doa, niat yang baik, insya-Allah akan dilindungi sentiasa," ujarnya.

Sebagai ibu kata Suliza pesan itu bukan hanya buat anaknya semata-mata malah artis baharu dalam industri.

"Selagi mampu, insya-Allah saya boleh bimbing dia. Malah, artis muda lain pun sebab sebagai seorang ibu saya tak mahu mereka juga terpalit dengan kontroversi tidak sihat," tambahnya.

Baru-baru ini Ismail Izzani antara artis muda yang terpalit dengan kontroversi penyebaran video lucah yang dikatakan mirip dengan wajahnya.

Mencabar pihak tidak bertanggungjawab itu untuk muncul menampilkan bukti, Ismail menganggap perkara sedemikian melucukan.