Cinta berputik ketika menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV) 7, Bad Indigo dan Ashira sah bergelar suami pada petang Khamis.

Bad dan Ashira melangsungkan pernikahan di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya mengikut SOP yang ditetapkan.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Namun, kami memohon maaf kerana tidak dapat menjemput rakan-rakan dan pihak media kerana kita semua masih berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Majlis hari ini hanya dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak,” kata Ashira dan Bad.

Pasangan mempelai dinikahkan bapa pengantin perempuan Syed Abdul Aziz. Ashira menerima mas kahwin sebentuk cincin berlian daripada pihak pengantin lelaki.

Dalam pada itu Bad mengucapkan rasa syukur kerana anak-anaknya terbuka menerima kehadiran Ashira sebagai ahli keluarga baru mereka.

“Anak-anak saya terbuka menerima Ashira sejak dari awal perkenalan kami. Mereka sekarang pun dah panggil Ashira ‘Mom’,” katanya.

Sementara itu Ashira berkata, anak-anaknya juga menerima Bad dan seluruh ahli keluarganya dengan baik.

“Saya bersyukur sangat, anak-anak saya boleh terima Bad…Anak Bad pula boleh terima saya. Sekarang ni mereka dah jadi ‘geng’.

Mengulas mengenai cahaya mata, pasangan sama cantik sama padan ini tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki dalam masa terdekat.

Bad atau nama sebenarnya Badru Izhan Yeop Abdullah pernah mendirikan rumahtangga pada 2007 dan dikurniakan dua orang anak. Selepas tiga tahun, dia dan bekas isteri mengambil keputusan untuk bercerai.

Manakala Ashira pula merupakan ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 15 tahun hasil perkahwinan sebelumnya.