Jurulatih pasukan bola sepak cacat penglihatan negara, Sunny Shalesh telah mengajar skuad Harimau Buta sejak tahun 2009 lagi.

Menurut Sunny yang juga berlakon dalam filem dokumenteri Eye On The Ball (EOTB), golongan kelainan upaya ini boleh berjaya dalam kehidupan harian sekiranya diberikan fokus dan tumpuan.

“Saya gunakan bola sepak sebagai alat pembangunan sosial untuk membina satu platform permainan.

“Ia bukan menumpukan perhatian kepada kekurangan mereka tetapi memberi tumpuan pada kebolehan mereka.

“Ia terbukti daripada bola sepak rekreasi kurang upaya ada sesetengah yang menjadi atlet kebangsaan dalam displin sukan mereka,” jelasnya menerusi satu perkongsian video R.AGE.

Tambahnya lagi, sukan bola sepak juga telah menjadikan kehidupan mereka lebih bermakna.

“Seorang yang buta boleh menjalani kehidupan yang normal dengan latihan.

“Daripada segi fizikal, koordinasi mereka tidak membenarkan untuk berlari, membuatkan pusingan 360 darjah, kemampuan mengesan bunyi-bunyi sensitif di persekitaran.

“Tetapi sekarang mereka berlari dengan kelajuan yang tinggi, cuba bayangkan apa bola sepak telah lakukan pada kehidupan harian mereka,” jelasnya lagi.

Dokumentari EOTB menceritakan kisah suka duka pasukan bola sepak cacat penglihatan yang melakar kemenangan di Sukan Para ASEAN 2017 untuk melayakkan diri ke kejohanan bola sepak cacat penglihatan dunia.

Saksikan filem EOTB di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 bermula 20 Ogos 2020.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton filem ini selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem ini, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.