Berita

Bosan PKP 2.0, Amy Search Jual Asam Pedas Daging Keting Sold Out, Slot Penuh, Padu Rockstar!

gempak
Maliah Surip
17/01/2021
05:55 MYT
Sponsor Banner
Bosan PKP 2.0, Amy Search Jual Asam Pedas Daging Keting Sold Out, Slot Penuh, Padu Rockstar!
Memiliki kepakaran dalam bidang masakan membawa rahmat buat vokalis Amy Search dalam fasa PKP 2.0 ini.
Beliau yang pada mulanya secara suka suka memasak kerana bosan dan bertanya kepada pengikut Instagramnya, @akuamysearch adalah sudi membeli masakannya kini tak menang tangan.
Menurut Amy, idea memasak dan menjual tercetus selepas beliau dan isteri, Norish bosan tanpa aktivitisebaik kerajaan mengumumkan PKP 2.0 dijalankan sehingga 26 Januari mendatang.
"Kita fikir apa nak buat. Berkebun sudah, semua sudah, tapi tak boleh ke mana mana. Jadi saya cakap isteri, masaklah jom. Cuba jual. Tak sangka banyak pula yang minat dan buat tempahan," kata Amy saat dihubungi Gempak.
Memasuki hari kedua, Amy mengaku hidangan Asam Pedas Daging Keting resipi asli miliknya itu telah membuat aktiviti beliau di musim PKP 2.0 menjadi sibuk.
"Pagi pagi dah bersilat di dapur. Alhamdulillah, rezeki," kata Amy penuh bahagia.
Sebagai permulaan, beliau memasak sendiri Asam Pedas Daging Keting atau dikenali juga sebagai Beef Shank.
Meninjau di Instagram miliknya, bapa Nabila Huda ini memasak 10 kilogram daging bagi memenuhi tempahan yang tak disangka. Beliau juga memuat naik video dari awal menumis sehingga hidangan yang disiapkan buat pembeli siap.
Malah, masakan itu semuanya sudah siap ditempah dan slot tempahan sehingga esok sudah penuh.
"Tak sangka, ramai orang yang tempah. Semalam buat suka suka nak cuba. Hari ni nampaknya macam nak beralih kerjaya dari penyanyi jadi cef," katanya ketawa.
Dengan rendah hati, Amy mengatakan sebagai bukan pakar masakan yang memegang status cef, resipi asam pedas yang dimasaknya ini dipelajari daripada arwah ayahnya, Rahman dan ibunya.
"Jadi awal awal saya minta maaf jika ada yang terkurang atau tak menepati citarasa pembeli. Ini resipi turun temurun dari keluarga saya," katanya lagi.
Setakat ini kata Amy, beliau hanya beroperasi di Denai Alam dan semua yang membeli perlu mengambil sendiri tempahan mereka. Tempahan pula dibuat dalam kuantiti terhad iaitu sebanyak 50 bungkusan sehari.
Sekadar informasi, Amy memang terkenal sebagai seorang selebriti yang punya kemahiran memasak. Selain Asam Pedas Daging Keting, antara menu padu daripada beliau adalah Sambal Sardin dan Sup Tulang. Beliau juga memiliki perniagaan Kopi Phewwwittt yang masih aktif dijual sehingga kini.
Instagram: @akuamysearch, @qasender
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live