Pencetus Ummah (PU) Rahmat meminta agar islamis atau selebriti media sosial khususnya berhenti mempromosikan siri popular terbaharu di Netflix iaitu Squid Game dan Money Heist.

Kata PU Rahmat meskipun siri itu mempunyai jalan cerita yang menarik, namun tetap memberi pengaruh tidak baik seperti menonjolkan adegan seks dan perkara haram lain.

“Mana-mana Islamis khususnya Asatizah dan influencer islamik yang menonton mana-mana siri Netflix macam Squiq Game dan Money Heist tak perlu sampai buat bedah siri.

“Saya faham jalan cerita best dan plot twist serta penuh pengajaran tapi siri itu juga menonjolkan adegan sex separuh bogel dan hal-hal haram lain,” katanya.

Pendakwah bebas itu berkongsi pendapat dan hujahnya di akaun Instagram miliknya.

Menurutnya lagi, lebih buruk lagi apabila ada kanak-kanak bawah umur yang terpengaruh dan ingin menonton siri tersebut.

“Bukan apa, ni dah jadi hujah bila ada budak-budak bawah umur minta mak ayah benarkan mereka tonton siri Netflix sebab mak ayah buat child lock.

“Faham maksud saya?

“Nak tengok tu tengoklah sebab masing-masing dah dewasa tapi jangan pula kalian mempromosi secara tak langsung sebab follower kalian bukan semuanya orang dewasa,” tegasnya lagi.

Siri Squid Game baru-baru ini menjadi fenomena di kalangan rakyat Malaysia selepas ia mula ditontonkan sejak 17 September lalu.

A post shared by Rahmat Ikhsan / Pu Rahmat (@rahmat_ikhsan_official)