Pengacara dan hos, Alvin Anthons terkejut apabila program yang dikendalinya, The Nite Nite Show with Alvin Anthons diberi pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records di atas gelaran First Instagram Live Broadcasting Talk Show.

Menurut Alvin, pengiktirafan tersebut menunjukkan usahanya menganjurkan talk show di alam maya sejak pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia itu berbaloi.

“Sebenarnya pengiktirafan ini adalah sesuatu yang tidak dijangka buat saya dan pasukan. Apatah lagi pihak Malaysia Book Of Records memang sangat teliti dalam pemilihan ini dan terlalu banyak piawaian perlu pihak saya melepasinya.

“Agak terkejut juga, apabila pihak Malaysia Book of Records sendiri telah memberi penilaian yang agak cepat sebaik sahaja pasukan saya melengkapkan borang serta keperluan yang diperlukan.

“Secara jujurnya saya telah meletakkan standard sendiri dalam apa juga saya lakukan. Begitu juga dengan talk show ini juga sebab saya tak mahu terikut atau sama dengan orang lain.

“Apabila mereka kata saya layak untuk menerima pengiktirafan ini, ia secara tidak langsung membuatkan usaha saya dalam melahirkan sesebuah talk show secara online yang berkualiti ini berbaloi,” katanya kepada Gempak.

The Nite Nite Show with Alvin Anthons merupakan sebuah rancangan hiburan pertama di Malaysia yang disiarkan secara lansung melalui aplikasi Instagram, dilengkapiset studio dan DJ secara lansung.

Tidak ketinggalan juga tetamu-tetamu istimewa yang hadir melalui akaun Instagram masing-masing, di mana mereka akan berbincang mengenai isu-isu semasa dan menyertai segmen permainan yang menarik, dicipta khas bagi setiap tetamu yang hadir.

Bercerita mengenai cabaran yang dilalui ketika mengendalikan program tersebut, Alvin memberitahu dia dan pasukan menghadapi banyak masalah teknikal.

“Bukan kerja yang mudah, terutama dari segi teknikal kerana pasukan kami berhadapan dengan banyak masalah kerana untuk diselaraskan dalam format IG Live.

“Saya juga membeli banyak alat bantuan teknikal semata-mata untuk mendapatkan kualiti bunyi dan visual terbaik apabila di siarkan secara langsung. Itu semua adalah pelaburan yang telah saya buat untuk merealisasikan usaha ini.

“Dari sudut lain, pihak Malaysia Book of Records melihat kepada ketelitian program ini yang disiarkan mengikut masa yang ditetapkan. Hari dan waktu siaran yang tepat. Tak ada perubahan,”katanya.

Menggunakan format Bahasa Inggeris, rancangan bual bicara malam ini telah pun menamatkan musim pertama pada hujung bulan Julai 2020 yang lepas disamping kejayaan membawa 13 nama selebriti top dari Malaysia, Singapura dan juga Amerika Syarikat sebagai tetamu rancangan.

Antara nama besar yang muncul adalah seperti Dato’ Hans Isaac, Dato’ Norman (KRU), Gurmit Singh aka Phua Chu Kang, Amber Chia, Allan Wu (Amazing Race Asia) dan Justin Bratton (Asia’s Got Talent).

Program ini bersiaran secara lansung dua kali seminggu, di laman akaun Instagram (@Alvinanthons), setiap hari Selasa & Khamis, jam 10 malam.

The Nite Nite Show with Alvin Anthons berjaya meraih anggaran penonton secara lansung seramai lebih 500 bagi setiap episod sejak penyiaran pertamanya pada bulan Jun, manakala anggaran penonton bagi setiap rakaman episod di YouTube telah melebihi 5,200 penonton.