Meskipun bersyukur dan bangga masih relevan, namun penyanyi Zarul Husin mengakui dia berasa sedikit terkilan apabila lagu baharunya sukar mendapat tempat dalam kalangan pendengar.

Menurut Zarul, peminat tetap mahu dia menyanyikan lagu-lagu popularnya bersama kumpulan Umbrella terutamanya ‘Ramalanku Benar Belaka’.

"Ada rasa terkilan sebab orang susah nak terima lagu baru saya. Ramalanku Benar Belaka terlalu kuat. Bukan mudah untuk penyanyi lama tampil dengan lagu baru kerana perlu bersaing dengan karya terdahulu.

"Namun tetap ada rasa bangga kerana masih ada yang mahu terbitkan lagu untuk saya. Nak kekal relevan saya kena tampil dengan lagu baru tapi mungkin ramai tahu sejak 2014 saya ada keluarkan lagu baru," katanya kepada Gempak.

Disebabkan itu juga, pelakon drama siri B.A.R.I.S.T.A : Misi Terpaling Sulit ini juga terpaksa menangguhkan hasratnya untuk melancarkan lagu terbaharu buat masa kini.

"Kerjaya nyanyian masih berjalan seperti biasa. Tetapi untuk lagu baru saya tangguh dulu walau ada satu karya nak dilancarkan. Saya lihat persaingan industri sekarang terbatas.

“Orang lama nak naik pun susah. Itu antara cabaran yang perlu dihadapi. Ada dalam kalangan artis yang sertai rancangan realiti dan tampil dengan lagu baru pun susah nak naik," ujarnya lagi.

BACA SINI: Tak Pernah Terheret Kontroversi Rumah Tangga, Zarul Umbrella Belajar Elak Kongsi Masalah Di Media Sosial - "Isteri Pun Faham & Bertoleransi..."

BACA SINI: Zarul Husin Lakon Babak Romantis, Nasib Isteri Sentiasa Memahami; “Jangan Curang La! Itu Saja”