Bintang program Big Stage, Tajul mengulas kenyataan yang diberikan oleh rakan duetnya, penyanyi Wany Hasrita yang mengakui gandingan mereka sudah tidak relevan buat masa sekarang.

Menerusi laporan Harian Metro, Wany sudah menyedari perkara itu dan sudah pernah berbincang mengenai hal terbabit.

"Saya pun tak berapa berani sangat nak cakap lebih-lebih isu tersebut, tak mengapalah.

"Rezeki masing-masing, mungkin dia lebih fokus untuk tanggungjawab yang dia dah dapat, Bintang Paling Popular ABPBH 31.

"Jadi, dia kena buktikan kepada orang ramai yang dia jauh lebih baik dari saya," kata Tajul kepada Gempak.

Dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, Tajul menganggap Wany layak mendapat pasangan duet baru.

"Dia layak dapat pasangan duet baru yang lebih lagi, macam saya, jenis tak kisah siapa pun nak berduet dengan saya.

"Bukan saya yang minta duet dengan dia atau nak tumpang populariti dia, ramai yang cakap saya nak tumpang popular dia, dia lupa siapa yang bantu dia naik sama-sama dulu.

"Tak mengapalah, tolak tepi, itu semua atas syarikat, nak tak nak saya kena nyanyi sebab kerja professional.

"Itu saja yang saya boleh komen. Terima kasih, maaf kalau ada kurang dari saya," katanya lagi.

Wany dan Tajul dikenali menerusi tiga lagu duet iaitu Di Sana Cinta Di Sini Rindu, Rindu Dalam Benci dan terbaru, Aku Serius.