Pelakon Eyka Farhana sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila memuat naik sekeping foto yang dipercayai di sebuah kelab malam baru-baru ini.

Foto yang samar latarbelakangnya itu mengundang pelbagai pertanyaan pengguna media sosial hingga ada yang menuduh pelakon itu berkunjung ke pub walaupun pada bulan Ramadan.

Pada foto berkenaan, Eyka hanya menulis kapsyen 'HUDA! Young & Wild' berserta kredit solekan dan tanda pagar #banteras.

"Wow! Bulan puasa pun masuk pub ke?" soal salah seorang pengguna di akaun Instagram pelakon wanita itu.

Bagaimanapun, Eyka menerusi kenyataan kepada mStar memberitahu foto itu diambil ketika penggambaran drama bersiri Banteras.

"Saya tidak pergi kelab malam pada bulan Ramadan, saya tidak seteruk itu.

"Ia hanya penggambaran sebuah drama, ada babak berhibur di kelab malam.

"Namun pihak produksi pun tidak ke kelab malam sebenar, mereka hanya buat mock up set seperti dalam sebuah kelab sahaja," kata Eyka.

Eyka juga mengakui kapsyen yang kurang jelas maknanya membuatkan timbul spekulasi liar dalam kalangan netizen.

Banteras merupakan drama bersiri 12 episod hasil kolaborasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Fantasy Films Sdn. Bhd.

Selain Eyka, drama arahan Ghaz Abu Bakar itu turut dibintangi oleh Sangeeta Krishnasamy, Zahiril Adzim, Kamal Adli dan Khir Rahman.

Drama Banteras akan mula ditayangkan di Astro Ria bermula Ogos depan.

Olahan oleh: Amri Hassan
Foto: @eykafarhana