Hiburan
Bunga Simpan Hasrat Nak Kerjasama Dengan Yuna
Penyanyi rap, Bunga mengakui menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan penyanyi Malaysia bertaraf antarabangsa, Yuna.
Menurut Bunga, Yuna mengikutinya di Instagram (IG) selepas video nyanyian rap miliknya berbaju kurung dan bertudung dikongsi portal antarabangsa New York Times dan Bloomberg pada tahun lalu.
"Tahun lalu, selepas nama saya disebut dalam artikel dan video persembahan saya dikongsikan dua portal antarabangsa itu, Yuna ada mengucapkan tahniah kepada saya.
"Dia juga mengikuti akaun Instagram (IG) saya. Sejujurnya, saya ada menyimpan impian untuk bekerjasama dengannya," katanya kepada Gempak.
Bunga ditemui ketika majlis Majlis Pra Tonton Eksklusif dan Sidang Media "Aku, Bunga" yang diadakan di MBO, The Starling, Damansara Utama.
Tambah pemilik nama Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari dia menunggu masa yang sesuai untuk meluahkan keinginannya kerana dia sedar perjalanan sebagai anak seni baru sahaja bermula.
"Sekarang saya baru mula nak menapak dan perjalanan saya masih jauh lagi.
"Apabila tiba masanya, saya akan luahkan hasrat saya kepadanya dan ajak dia untuk bekerjasama," katanya lagi.
Terbaru, Bunga bersama Ben Amir dan Naim Daniel tampil dengan buah tangan terbaharu "Aku, Bunga".
'Aku, Bunga' bakal ditayangkan pada 13 Ogos ini di Astro First Eksklusif, saluran 480. Untuk pilihan alternatif, filem televisyen (FTV) ini juga boleh didapati di platform On Demand.
Must-Watch Video