Drama
"Ceritanya Menyeramkan, Tapi Bukan Cliche" - Sharifah Aryana Kembali Bergabung Bersama Syafie Naswip Selepas 7 Tahun
Ramahnya masih seperti dulu, percakapannya lemah lembut tapi penuh keseronokan. Itulah Sharifah Aryana Syed Zainal Rashid Al-Yahya, paling bungsu dalam adik beradik Sharifah (Sharifah Aleya, Sharifah Amani dan Sharifah Aleysha).
Gempak menemubual Sharifah Aryana atau panggilan mesranya Yana selepas hampir tiga tahun dia berlakon kerana menyambung pelajaran di United Kingdom.
"Bukan itu saja, ini kali pertama saya berlakon dengan Syafie Naswip selepas tujuh tahun. Mungkin ramai yang ingat pada kami dari filem Mukhsin, tetapi selepas filem tersebut, ada beberapa lagi cerita yang kami berkolaborasi bersama.
"Apabila mendapat tawaran untuk berlakon telefilem Santau Maut, dan mendapat tahu saya akan bersama Syafie serta pelakon lagenda Lydiawati, saya terus terima tawaran tersebut," kata Yana.
Menurut Yana, perasaan gementar untuk kembali berlakon telefilem memang terasa apatah lagi mendapat tahu Lydiawati bakal membawakan watak ibu kepada dirinya.
"Lydiawati jadi emak dan dia pelakon lagenda. Tentulah ada rasa gemuruh. Tetapi bila ada Syafie bersama dan mula menyerap watak, perasaan itu mula hilang dan karakter yang saya lakonkan mengambil alih.
Berlakon bersama mereka sangat menyeronokkan kerana Lydiawati sebenarnya seorang yang 'gila-gila', tapi sangat profesional bila bekerja," kata Yana kepada Gempak.
Tambah Yana lagi, cerita Santau Maut juga sangat menarik dan menakutkan, tetapi bukan cerita cliche.
Karakternya sebagai Anggerik sangat besar jiwanya kerana naluri sebagai adik perempuan untuk melindungi keluarganya.
Syafie Naswip pula begitu senang sekali dapat berlakon bersama Sharifah Aryana dan Lydiawati. Malah menurut Syafie, dia sanggup menerima apa jua tawaran jika Yana turut sama dalam projek tersebut.
"Dalam Santau Maut, karakter saya lebih menggunakan fizikal berbanding emosi, tetapi cerita ini sangat best kerana ianya memang wujud dalam masyarakat hinggalah ke hari ini.
"Lebih hebat, telefilem ini adalah telefilem seram pertama untuk Lydiawati dan wataknya memang hebat dan mengagumkan. Lakonan masing-masing sangat 'real' sampaikan kami semua rasa seperti berada dalam keadaan sebenar," kata Syafie kepada Gempak.
Telefilem Santau Maut merupakan Citra Eksklusif dan akan ditayangkan pada 7 Mac ini, hari Sabtu, pukul 9:00 malam di saluran Astro Citra 131 dan CitraHD 126.
Must-Watch Video