Melihat pada perkongsian yang dilakukan oleh tukang masak popular, Chef Wan di Instagram, pasti ramai yang menyedari bahawa dia kini berada di Amerika Syarikat (AS).

Menghabiskan masa bercuti di sana, Chef Wan juga tidak lokek berkongsi momen-momen menarik ketika berada di bumi Uncle Sam itu.

Salah satu daripadanya adalah bagaimana seorang rakyat AS yang tiba-tiba menegurnya sewaktu dia berada di sekitar San Francisco baru-baru ini.

A post shared by chef wan (@_chefwan58)


“Ketika saya meninggalkan Hotel Fairmont untuk bergegas ke hotel saya, St Regis, saya melalui sebuah restoran. Tiba-tiba seorang lelaki berbangsa Cina menyapa saya: ‘Kamu Chef Wan?’”

“Saya jawab ya dan dia begitu teruja terserempak dengan saya. Dia kata yang dia banyak menonton rancangan masakan selain merujuk saya sebagai seorang yang kelakar.

“Lalu, saya tanya adakah dia orang Malaysia. Namun, dia menjawab yang dia berketurunan Cina yang lahir dan tinggal di San Francisco. Kemudian, dia ucapkan selamat bercuti kepada saya dan saya kembali ke hotel,” ujar Chef Wan.

Dalam pada itu, Chef Wan turut berkata yang dia menyedari satu hal apabila orang asing dari luar negara turut mengenalinya.

“Beberapa saat kemudian saya sedar yang mungkin lelaki berkenaan merupakan peminat Uncle Roger?

“Kebanyakan orang yang menegur saya di London, Istanbul dan terbaharu di Doha bertanya kepada saya: ‘Kamu mesti Chef Wan… Saya suka apa yang kamu lakukan terhadap Uncle Roger! Hanya kamu yang mampu lakukan sedemikian’. Saya tergelak bila fikiran video seperti itu mampu memberi efek kepada memori sesetengah orang di seluruh dunia,” tutup Chef Wan.

Untuk rekod, selebriti Youtube dan pelawak antarabangsa, Nigel Ng menjemput Chef Wan sebagai tetamu menerusi sebuah videonya pada Mac 2021. Menerusi video berkenaan, penonton dapat melihat gelagat Chef Wan menyakat Nigel yang lebih popular dengan panggilan Uncle Roger itu. Setakat ini, video tersebut menerima lebih empat juta tontonan.