Dua selebriti Cik Manggis dan Dottie telah diperangkap dalam rancangan realiti kewangan Let's Du-It musim terbaharu ketika berada di sebuah pusat rawatan kecantikan di ibukota.

Cik Manggis atau nama sebenarnya Nurshazwani Samsudin dan Dottie (Norsyuhaida Abdul Razak) sebenarnya tidak menyedari aksi mereka dirakam untuk cabaran terjebak melanggan kad keahlian bulanan selepas melakukan sesi rawatan secara percuma.

"Kalau ikutkan betul-betul saya rasa lain macam, tapi saya masih terjebak sebab saya senang terpengaruh dengan produk semula jadi," kata Cik Manggis.

Sementara itu, kata Dottie pakej kad keahlian yang ditawarkan kepadanya memang sukar untuk ditolak.

"Orang yang bijak kadang-kadang akan ditipu juga akhirnya. Memang pakej itu memang menarik untuk membuatkan saya terpedaya," katanya.


Let's Du It merupakan sebuah rancangan realiti kewangan yang dihoskan oleh Sherry Alhadad dan Razif.

Pelbagai cabaran telah diberikan kepada setiap peserta selama lapan minggu bersiaran berdasarkan tema tertentu berkisar masalah yang sering dihadapi orang awam setiap hari.

Penonton telah menyaksikan peserta menyahut cabaran untuk membelanjakan wang dengan bijak dan menyimpan secara konsisten.

Jadi, jangan lepaskan peluang menonton episod akhir rancangan realiti kewangan Let's Du It setiap hari Isnin pukul 9 malam di saluran Astro Ria dan Ria HD.

Teks oleh: Amri Hassan