Laman Utama
Comeback Di Zaman Terima Komen 'Kejam', VE: "Yang Suka Alhamdulillah, Yang Tak Suka..."
Meninggalkan persada seni pada sekitar tahun 2007, VE, sebuah grup berharmoni yang cukup terkenal dalam kalangan penggemar muzik kembali aktif di tahun ini.
Sepanjang lebih 13 tahun memberi fokus kepada karier masing masing, VE kini kembali bersama dua anggota asalnya, Cham dan Zaf. VE kemudian dimantapkan dengan kehadiran Adib Nahar dan Lukman Hakim.
Berempat, mereka hadir dengan sebuah karya yang cukup mempersona. Tunggu, karya perdana VE ini diberi nama.
Mendapat sentuhan Zaf, Cham dan Mulah untuk lirik dengan diterbitkan VE&CO, Tunggu adalah peluru baharu VE untuk 'menembak tepat' ke hati peminatnya.
Menariknya, Tunggu punya nilai kasih yang tinggi. Ia bukan berkisah tentang cinta biasa, tetapi kasih sayang seorang anak kepada bapa; ikon yang sering dilupakan dan jarang diberi apresiasi secara terbuka.
"Simboliknya Tunggu adalah tentang kasih sayang antara sang anak dengan bapa. Bagaimana perasaan pada pertemuan yang telah lama tidak berlaku dan keghairahan pertemuan itu," jelas Zaf mengenai Tunggu sewaktu ditemui sesi pengenalan single Tunggu di rakaman V.E The Private Room di BsyncLive, baru baru ini.
Tunggu yang kini sudah ditonton lebih 20 ribu tontonan sejak dimuat naik di YouTube sekitar dua minggu lalu juga adalah karya dari keghairahan mereka yang tidak pernah padam dalam dunia muzik tempatan.
Kembalinya VE aktif di zaman serba 'baharu' termasuk cara komentar yang dilontarkan secara lebih terbuka dan 'kejam' tidak membuat mereka bimbang.
"Sebenarnya dari dulu budaya kecam mengecam sudah ada, kejam, cuma tak sampai kepada kita.
"VE kembali bukan untuk bersaing atau membuktikan kami bagus misalnya. Kami hanya mengekalkan identiti kami dan mahu memberi pilihan muzik termasuk muzik old school R&B tahun 90an misalnya.
"Sebab itu kami ambil masa yang lama untuk kembali. Kami buat research agar pada usia 40an ni tidaklah VE menyanyikan lagu seperti usia 20an, macam tak kena.
Jadi kami okay kalau ada yang kecam atau suka. Yang suka Alhamdulillah, yang tak suka pun Alhamdulillah," ujar Zaf lagi.
Cham juga menambah VE sangat terbuka untuk menerima feedback yang menegur tentang kekurangan mereka.
"Sebab sebenarnya apabila VE kembali pada tahun ini, kami lakukan semuanya daru awal. Ini sebagai satu cabaran terhadap dedikasi yang kami lakukan. Jadi kami sangat terbuka menerima feedback mengenai kekurangan VE," katanya.
Malah VE juga berikrar untuk terus 'berkhidmat' kepada seni tempatan dengan kembalinya mereka pada tahun ini.
"Kita sudah merancang banyak agenda untuk setahun ini dan besar harapan kami agar apa yang dirancang dimakbulkan Allah. Jadi sama sama kita berdoa kerana nak cakap kami tidak akan aktif semula atau sebaliknya, semua itu atas jalan Allah.
"Cuma apa yang kami rencanakan buat masa ini adalah VE hadir kembali memeriahkan industri," kata Adib pula.
Selain Tunggu, VE juga siap memperkenalkan single kedua mereka yang akan dirilis pada Ramadan nanti, Antara Cinta & Ghairah.
Must-Watch Video