Sarawak mencatatkan 353 kes baharu positif COVID-19 baharu hari ini, lapor AWANI.

Jumlah itu sekaligus merupakan jumlah kes harian tertinggi yang pernah dicatatkan di Sarawak.

Menurut JPBN Sarawak, ini menjadikan jumlah keseluruhan COVID-19 di negeri itu bertambah kepada 8,650 kes.

"Daerah Sibu mencatatkan 181 kes, Meradong (67), Kuching (31), Bintulu (22) dan Kapit (18).

"Manakala, lapan kes direkodkan di Miri dan Subis. Enam kes di Betong, tiga di Bau dan Dalat, Samarahan dua kes.

"Selebihnya, satu kes masing-masing dicatatkan di Kanowit, Saratok, Julau dan Serian," lapor JPBN Sarawak dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, kes yang dicatatkan di Sibu kebanyakannya dikesan melalui saringan pengesanan kes secara aktif kontak kepada kes positif sebelum ini.

"Dari 181 kes, 86 kes direkodkan melalui saringan pengesanan kes secara aktif kontak positif COVID-19, 70 kes lain-lain saringan di pusat kesihatan di Sibu, 12 kes saringan petugas kesihatan, 11 kes pula melibatkan saringan individu bergejala.

"Manakala, satu kes masing-masing melibatkan Kluster Pasai dan Kluster Geronggang," petik kenyataan sama.

Dalam pada itu, JPBN Sarawak turut melaporkan 139 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

78 kes dibenarkan keluar dari Hospital Sibu, 21 di Hospital Miri, 18 di Hospital Umum Sarawak.

"15 kes di bawah Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko (PKRC) Hospital Kapit, dua di PKRC Hospital Sarikei dan lima di Hospital Bintulu.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj setakat hari ini adalah seramai 6,238 orang," jelas JPBN Sarawak.

Antara lain, 25 kluster yang dilaporkan sebelum ini masih kekal aktif di Sarawak.

Sumber / Foto: Astro AWANI