Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 5,097 kes baharu COVID-19 setakat tengah hari Sabtu.

Jumlah kes yang direkodkan hari ini menunjukkan penurunan berbanding semalam iaitu 5,501 kes.

Memetik laman sesawang COVIDNOW, kes baharu hari ini menyumbang kepada 2,619,577 kes secara kumulatif di seluruh negara setakat ini.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berpandangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan ketika ini.

Ia berikutan kemasukan pesakit ke hospital semakin meningkat selain kes COVID-19 yang membimbangkan serta kemunculan varian baharu dalam negara.

"Saya rasa kalau diadakan pilihan raya pada waktu ini sangat tidak bertanggungjawab," katanya pada sidang media seperti dilaporkan Bernama.