Kumpulan nasyid Inteam akan mengadakan program Zikir Munajat secara atas talian untuk disertai bersama peminat-peminat mereka.

Menurut ketua kumpulan Inteam, Syah, inisiatif itu dilakukan berikutan pengumuman kerajaan berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan 14 hari bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

"Sejak tersebarnya wabak COVID-19 di negara kita, satu demi satu program yang melibatkan Inteam membuat persembahan telah dibatalkan.

“Kami faham dan reda dengan situasi ini, ditambah pula dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan 14 hari baru-baru ini.

“Jadi kami bercadang untuk mengajak peminat bersama-sama mengikuti alunan Zikir Munajat secara 'live' dari kami sebagai salah satu aktiviti mereka semasa berada di rumah," ujar Syah.

Tambah Rahim pula, program tersebut juga bertujuan untuk mengajak orang ramai supaya bermuhasabah diri.

"Dalam program ini nanti, kami ingin mengajak semua penonton untuk muhasabah diri dan berzikir serta bermunajat memohon keampunan dari Allah dan berdoa agar diangkat ujian wabak ini segera.

"Seterusnya Inteam merancang mengadakan beberapa lagi program secara atas talian bagi disajikan kepada peminat-peminat Inteam melalui YouTube Inteam Digital,” jelasnya.


Dalam pada itu, Syah juga turut merakamkan terima ribuan terima kasih kepada petugas-petugas kesihatan dan juga yang terlibat dalam menangani wabak pandemik berkenaan.

"Pada kesempatan ini juga, kami ingin merakamkan penghargaan kepada semua petugas-petugas kesihatan dan semua yang terlibat bertungkus-lumus dan bertarung nyawa bagi memastikan penularan wabak ini terkawal.

“Semoga Allah mengangkat ujian wabak ini segera dari kita semua, Insya-Allah," tambah Syah lagi.

Program Zikir Keamanan secara atas talian di rangkaian YouTube Inteam Digital ini akan ditayangkan secara langsung malam ini bermula jam 9 malam.