Barangan bernilai rendah (LVG) diimport yang mengalami kenaikan harga secara dalam talian mula memberi kesan kepada pengguna di Malaysia.

Perkara itu disebabkan kerajaan mengenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus bermula 1 Januari lalu, yang menyebabkan segelintir peniaga menaikkan harga barangan bagi menampung kenaikan kos yang terpaksa ditanggung.

BERITA TRENDING: Belanjawan 2024: “Penurunan Duti Hiburan Bakal Jadi Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi” - Fahmi…

Menurut Sinar Harian, barangan LVG yang dikenakan cukai jualan merangkumi semua kecuali rokok, produk tembakau, minuman keras, rokok elektronik dan penyediaan sejenis yang digunakan untuk merokok serta dijual pada harga tidak melebihi RM500 yang dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan darat, laut atau udara.

Platform jualan dalam talian juga didapati mempunyai perubahan dalam harga jualan susulan pelaksanaan cukai tersebut.

Antara barangan yang mengalami perubahan adalah seperti sarung tangan dari China, kini berharga RM96.80 berbanding RM88 yang dijual sebelum ini iaitu naik sebanyak RM8.80.

Alat pemasangan simen batu bata dari Indonesia pula naik RM4.09, apabila dijual pada harga RM39.59 berbanding RM35.50 sebelum ini.

Beberapa barangan lain dari China juga didapati naik harga, antaranya fon kepala berharga RM54.56 berbanding RM49.60, pengecas telefon berharga RM49.50 (sebelum RM45) dan sarung telefon RM9.13 (sebelum 8.30).

Menurut penganalisis politik dan sosial, Lim Sian See dalam perkongsian di Facebook berkata, sama seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Cukai Barang Nilai Rendah (LVGT) mempunyai kelemahan kerana sebarang kenaikan harga barang atau jumlah nilai cukai yang dikenakan tidak tetap.

“Saya sendiri juga membuat tinjauan. Memang benar banyak barang yang dibeli pada bulan Disember telah dinaikkan harga jualan pada hari ini.

“Paling ketara ialah payung yang saya beli pada harga jualan RM39.20 pada 6 Disember lalu telah naik ke RM48 melalui penjual yang sama. Secara keseluruhan termasuk pelbagai diskaun, promosi dan kos penghantaran, saya telah bayar RM31.32 pada 6 Disember lalu.

“Jika saya nak beli semula daripada penjual sama hari ini, harga keseluruhan saya perlu bayar sudah naik ke RM46.06, iaitu kenaikan 47.1 peratus,” jelasnya.

Sumber: Sinar Harian