Bakat baru Aniq Suhair menegaskan dia tidak lagi mahu dikaitkan dengan usahawan muda Cik B yang juga kini sudah bergelar seorang pelakon dan penyanyi.

Menurut Aniq, 20, yang merupakan finalis Hero Remaja 2020, walaupun berkawan rapat dengan Cik B, dia mahu buku cerita mengenai mereka berdua ditutup.

"Sekarang dah tahun baharu 2021 pun, jadi kiranya cerita saya dengan Cik B itu, dah boleh tutuplah. No more Cik B lagi.

"Saya ketika ini, nak tumpu pada kerjaya seni sahaja kerana jadual berlakon pun padat sangat. Masa berehat saya, hanya sehari dan selebihnya bekerja.

"Jadi pasal perempuan ke, bercinta, saya nak ketepikan dahulu. Saya taknak serabutkan kepala nak fikir banyak benda, selain fokus pada kerja sahaja," kata Aniq kepada Harian Metro.

Kisah cinta Aniq dan Cik B serta gandingan mereka di dalam sebuah drama tempatan menjadi tular di laman sosial sekitar hujung tahun lalu.

Dipadankan untuk menjadi pasangan kekasih yang akhirnya berkahwin, Aniq mengakui kisah percintaan yang tular itu hanya dicipta untuk tujuan suka-suka.

"Saya dan Cik B, kami memang tak bercinta pun. Hanya berkawan baik dan rapat sahaja. Lagi pun, Cik B masih bersekolah, umur 15 tahun dan takkanlah saya nak bercinta dengannya.

“Dia gadis di bawah umur kot. Cukup-cukuplah dengan dakwaan negatif yang dilemparkan kepada saya selepas kisah dengan Cik B itu hangat. Bagi saya, kami hanya berurusan atas dasar kerja sahaja," jelasnya lagi.


Sumber: Harian Metro