Pelakon Shaheizy Sam membuat permohonan maaf atas kesalahannya membawa rokok elektronik ketika bersiaran secara langsung di sebuah penganjuran majlis anugerah malam tadi.

Menurut Sam, 38, perbuatan tersebut terjadi disebabkan atas kelalaiannya sendiri.

"Hari ini saya sedar ramai yang bising di media sosial tentang apa yang jadi semalam.

"Jadi, saya minta ampun maaf beribu-ribu ampun atas kecuaian saya dan kelalaian diri saya. Tak ada orang lain salah dah, memang diri saya salah," katanya menerusi satu entri video yang dimuat naik di Instagram miliknya sebentar tadi.

Menurut Sam lagi, dia juga menafikan dakwaan yang menyifatkan dirinya cuba mempromosikan produk rokok elektronik tersebut.

"Terus terang saya cakap dalam keadaan gementar malam tadi, di belakang pentas yang lengang tak ada orang, saya hanya fokus untuk buat yang terbaik dan sampai terlupa apa yang ada pada diri sehingga bawa ke atas pentas.

"Tak ada niat nak promosikan, semuanya atas cuai dan lalai saya, saya minta ampun," jelasnya.

Menurut Sam lagi, dia mengakui sudah menjadi kelaziman pada dirinya untuk menggantung alat tersebut di lehernya.

"Apa yang tergantung, ini keperluan saya. Saya dah gantung banyak kat leher lebih setahun, ini kegunaan saya. Dua ke tiga jam habis (bateri) ada satu lagi.

"Saya minta maaf sekali lagi, kecuaian dan kelalaian diri saya mengundang yang tak elok pada orang lain. Insya-Allah perkara ini tak berulang lagi," katanya.

Terdahulu, Sam menerima kecaman daripada warganet di media sosial selepas muncul dalam sebuah acara hiburan sambil membawa vape.

Tindakannya itu didakwa seolah-olah cuba mempromosikan produk tersebut di televisyen.

BACA: "Bawa Banyak Vape Sebab..." - Gantung Rokok Elektronik Ketika Live Di TV, Shaheizy Sam Dikecam Tak Profesional