Tempoh pandemik ini telah banyak mengubah sistem dan perundangan sesebuah negara termasuklah Malaysia.

Terbaru, ada beberapa pihak mencadangkan pengenalan pasport vaksin jika mahu melepasi sesebuah negara.

Biarpun nampak meyakinkan, namun cadangan itu ditolak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut Pengarah Kecemasan Serantau Wilayah Pasifik Barat WHO (WPR), Dr. Babatunde Olowokure, pengenalan itu mungkin memburukkan lagi masalah akses vaksin yang tidak adil dalam kalangan banyak negara.

Jelasnya, walaupun memahami pentingnya pemulihan ekonomi pelancongan antarabangsa negara, namun bekalan vaksin global ketika ini amat terhad untuk membolehkan pengenalan pasport vaksin.

"Pendirian WHO ketika ini ialah pihak berkuasa negara dan pihak berkuasa perjalanan tidak boleh memperkenalkan satu bentuk bukti vaksinasi COVID-19 untuk perjalanan antarabangsa sebagai syarat bagi pelepasan atau ketibaan (sesebuah negara).

“Bekalan global yang terhad adalah faktornya.

“Vaksinasi pilihan bagi pelancong boleh menyebabkan bekalan vaksin yang menyusut bagi mereka yang dianggap berisiko," katanya.

Tambahnya, kekurangan data mengenai sama ada vaksin dapat mencegah jangkitan dan penularan coronavirus juga adalah satu lagi faktor yang menolak pengenalan pasport vaksin.

Difahamkan, beberapa negara termasuk Malaysia, telah menimbangkan keperluan bukti vaksinasi bagi pelancong, dan beberapa hospital swasta di Malaysia dilihat menyokong idea ini bulan lepas.

Pengenalan pasport vaksin dijangka akan membantu pemulihan industri pelancongan perubatan di sini.

Sumber : Bernama