Sekilas
- Evanescence akan mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 28 November 2026, selepas hampir 14 tahun tidak berkunjung ke Malaysia.
- Kuala Lumpur menjadi satu-satunya destinasi Evanescence di Asia Tenggara untuk siri persembahan mereka tahun ini.
- Konsert ini turut menampilkan Poppy sebagai artis jemputan khas, membawa elemen muzik alternatif dan metal generasi baharu.
Belum sempat move on daripada My Chemical Romance (MCR)? Simpan dahulu baju hitam, eyeliner dan semangat emo anda kerana pesta muzik rock di Kuala Lumpur masih belum berakhir!
Selepas hampir 130,000 peminat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil sepanjang dua malam minggu lalu, kini giliran Evanescence pula mengubat kerinduan generasi yang membesar dengan muzik era 2000-an.
Seakan-akan MCR menyerahkan baton kepada Evanescence, peluang untuk kembali ber-emo dengan sentuhan gothic masih terbuka sebelum tirai 2026 berakhir.
Sabtu ini, Amy Lee bersama Evanescence bakal kembali menemui peminat Malaysia selepas 14 tahun menerusi konsert Evanescence Live in Kuala Lumpur 2026.
Siapa yang tidak pernah melayan Bring Me to Life ketika zaman sekolah, menghayati My Immortal saat patah hati atau menyanyi sekuat hati mendengar Going Under?
Kalau dahulu lagu-lagu ini dimainkan menerusi pemain MP3, Winamp, radio dan MTV, kini tiba masanya untuk menyanyikannya secara langsung bersama ribuan peminat yang berkongsi nostalgia sama.
Lebih istimewa, Kuala Lumpur menjadi satu-satunya destinasi Evanescence di Asia Tenggara bagi siri persembahan kali ini.
Konsert anjuran Hello Universe itu turut menampilkan Poppy sebagai artis jemputan khas, membawa sentuhan muzik alternatif dan metal generasi baharu ke pentas yang sama.
Sejak mencetuskan fenomena menerusi album Fallen pada 2003 sehingga merangkul dua trofi Grammy pada 2004, Evanescence bukan sekadar sebuah kumpulan rock, tetapi sebahagian daripada memori membesar sebuah generasi.
Mungkin hari ini ramai antara kita sudah bergelar ibu bapa, sibuk mengejar kerjaya, membayar komitmen bulanan dan menguruskan keluarga.
Namun, jauh di sudut hati, jiwa emo itu masih belum hilang.
Kalau minggu lalu kita kembali menjadi remaja bersama MCR, minggu ini tiba masanya untuk meraikan sisi gothic bersama Evanescence.
2026 mungkin hampir berakhir, tetapi era emo kita belum tamat!
Evanescence Live in Kuala Lumpur 2026 bakal berlangsung pada 28 November ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
