Kerajaan Thailand masih berhati-hati dalam membuka semula sempadan negara memandangkan pandemik COVID-19 masih belum berakhir.

Menerusi satu laporan The Thaiger, Thailand dikatakan tidak akan membuka sempadan sekurang-kurangnya hingga tahun depan.

Menurut timbalan gabenor Tourism Authority of Thailand (TAT), Chattan Kunjara Na Ayudhya, Thailand tidak mungkin menerima kemasukan pelancong sehingga awal 2021.

“Tidak dinafikan pelancongan amat penting buat Thailand, tapi buat masa ini tiada perbincangan untuk membuka sempadan,” katanya.

Jelasnya, Thailand juga kini hanya membenarkan individu penting saja untuk memasuki negara tersebut.

“Ketika ini kami hanya membenarkan individu penting seperti diplomat, pelabur dan pemegang visa Thailand Elite sahaja,” katanya.

Sementara itu, menerusi laporan Astro Awani sebelum ini, kerajaan Malaysia juga masih dalam pertimbangan untuk membuka semula sempadan negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sekiranya sempadan negara dibuka, ia mungkin akan melibatkan beberapa negara dalam rantau ASEAN yang semakin pulih daripada COVID-19 seperti Laos, Kemboja, Myanmar dan Thailand.

“Walaubagaimanapun, segalanya bergantung kepada disiplin rakyat dalam memastikan jumlah kes COVID-19 tidak meningkat dengan mendadak selepas sempadan dibuka.

“Tiada guna pintu sempadan dibuka dengan tergesa-gesa kerana sekiranya kes positif meningkat, negara terpaksa menutupnya semula,” katanya.

Sumber: The Thaiger, Astro Awani