Penyanyi Sheeda mengakui kesal apabila ada pihak melabelkan irama dangdut sebagai muzik murahan.

Menurut Sheeda, masyarakat hari ini perlu menghargai muzik dangdut kerana irama tersebut pernah menjadi satu fenomena suatu ketika dahulu.

"Bila sebut sahaja dangdut pasti orang akan melabelkan sebagai muzik murahan.

"Namun mereka lupa, kebanyakan budak-budak sekarang memilih lagu dangdut untuk dinyanyikan di pusat karaoke.

"Orang kita sebenarnya tidak sedar bahawa dangdut merupakan muzik Melayu dan perkara ini juga diakui oleh orang di Indonesia.

"Jadi malulah bila kita tidak memperjuangkan irama muzik sendiri kerana di Indonesia muzik dangdut merupakan satu fenomena yang hebat.

"Sepatutnya kita bangga dengan irama Malaysia dan janganlah memilih genre muzik yang sama sahaja," katanya kepada Astro Gempak.

Sheeda berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman Karnival Jelajah Mesra Medan Jodoh 2017 di 137 Cafe Bistro Ampang, Pandan Indah, baru-baru ini.

Karnival Jelajah Mesra Medan Jodoh 2017 akan berlangsung pada 6 hingga 15 Oktober depan di Padang Anam, Batu Anam, Segamat Johor.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Foto: Instagram Sheeda