Ezrie Ghazali dinobatkan sebagai Pengarah Harapan menerusi filem Abah Saya, Uncle Mike pada Malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di Panggung Sari, Istana Budaya, malam ini.
Ketika menerima trofi, Ezrie mengucapkan terima kasih kepada Astro Shaw, Etiqa dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atas sokongan mereka.
“Terima kasih Astro Shaw, Etiqa, FINAS. Saya tahu saya takkan berada di sini tanpa anda semua. Terima kasih banyak,” katanya.
Ezrie mengatasi empat calon lain iaitu Ahmad Tamimi Siregar (Denu), Bobby Husaini (Libang Libu), Allahyarham Nurhanisham Muhammad (Malam Terlarang) dan Tham Wai Fook (Circus of Life).
Filem cereka sulung arahannya itu diinspirasikan daripada kisah benar Michael Tong Wai Siong, seorang lelaki yang membesarkan tiga anak angkat Melayu sambil menghormati pegangan agama mereka.