Pelakon muda, Idan Aedan mendedahkan dia banyak menerima foto berunsur lucah daripada pengirim yang tidak dikenali di media sosial.

Namun, Idan atau nama lengkapnya, Muhammad Shahidan Abdullah, 19, memberitahu dia tidak teragak-agak menyekat pengikut lamam sosial itu sebelum mesej yang dihantar berlanjutan.

"Bukan sahaja perempuan, saya juga pernah menerima foto lucah daripada lelaki di dalam mesej media sosial seperti Instagram (IG)

"Tapi kali ini wanita dan disebabkan saya tidak menerima ‘request’ dia di IG jadi foto yang dihantarnya menjadi kabur.

“Saya tahu ia foto tidak senonoh. Saya terus 'blocked' kerana tidak mahu perkara sebegitu tersimpan dalam mesej atau friend request saya,” katanya kepada Gempak.

Idan berkata begitu selepas Tayangan Khas Media Filem Tebus yang diadakan baru-baru ini.

Namun, kata Idan dia masih percaya media sosial adalah platform yang baik untuk mengenali pengikutnya dengan lebih dekat.

“Saya tak anggap pengikut di laman media sosial sebagai peminat. Sebaliknya, kawan. Kadang ada sahaja perkara random yang kami bualkan. Tak sangka perbualan itu menjadi seronok.

“Saya mahu mereka selesa menegur saya di media sosial,” tambahnya.

Terkini, Idan tampil memegang karakter sebagai Jalil menerusi filem Tebus. Jalil merupakan adik kepada Johan lakonan Aedy Ashraf yang mengalami masalah jantung.

Johan terpaksa menculik Ana lakonan Ahirine, iaitu anak kepada pemilik syarikat barang kemas Suci. Upah penculikan tersebut akan digunakan untuk membeli jantung untuk adiknya dari pasaran gelap.

Filem terbitan syarikat produksi tempatan, Vian Media Sdn. Bhd. itu kini boleh ditonton menerusi platform penstriman over the top (OTT) terkemuka Amerika Syarikat (AS), Prime Video.