GAYA HIDUP
Dari Fesyen Ke Fairway! Pereka Fesyen Duo Farel & Jonathan Tubuh Persatuan Golf Sendiri, Anjur Glam Golf Fun Swing
Melangkah lebih jauh dari dunia fesyen, dua pereka terkenal dari FM Group, Farel Mikhail dan Jonathan Kok, kini melebarkan sayap ke arena sukan dengan menubuhkan Prestige Golf Association (PGA), sebuah persatuan yang bertujuan memartabatkan sukan golf sebagai aktiviti untuk semua lapisan masyarakat.
Menurut Farel, yang juga Pengarah FM Group dan kini Naib Presiden PGA, penubuhan ini bukan bermakna mereka meninggalkan dunia fesyen seperti yang didakwa sesetengah pihak. Sebaliknya, mereka sedang meneroka potensi baharu yang masih berkait rapat dengan gaya hidup dan ekspresi diri.
“Golf sering dilihat sebagai sukan elit, tapi kami mahu ubah persepsi itu. Kami mahu jadikan golf sebagai sukan rakyat yang boleh diakses semua, bukan hanya untuk golongan tertentu,” katanya.
.jpg)
Antara langkah yang diambil termasuklah menyediakan fasiliti golf dengan harga berpatutan, memperkenalkan diskaun kerajaan, serta merancang program pembangunan bakat muda.
Usaha mereka juga seiring dengan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan yang ingin membudayakan golf sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat masyarakat.
“Kami mahu menjadikan golf lebih inklusif, mesra alam dan adil secara sosial. Untuk itu, kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan kelab golf amat diperlukan,” jelas Farel, yang juga pencipta lagu Si Gadis Lebaran.
Dalam memperkukuh sinergi antara dunia fesyen dan golf, mereka menganjurkan acara sulung Glam Golf Fun Swing by PGA pada Sabtu lalu di Fun X Golf, Summit USJ, Selangor. Acara ini bukan sekadar pertandingan golf, tetapi juga meraikan keunikan gaya di padang.
Menariknya, program ini dirasmikan oleh Penasihat PGA, Tengku Datuk Hishammuddin Zaizi, dan turut menampilkan kategori khas Pakaian Terbaik sebagai simbolik penyatuan antara fesyen dan sukan.
Presiden PGA, Jonathan Kok, berkata pertandingan ini menjadi langkah awal untuk menyatukan dua dunia yang sebelum ini kelihatan berbeza – iaitu sukan dan gaya.
“Walaupun bersukan, peserta masih boleh bergaya. Itu yang kami mahu tonjolkan. Kami juga ada banyak lagi perancangan untuk koleksi fesyen yang berkaitan dengan golf. Nantikan,” katanya, disokong oleh Naib Presiden 1, Wayne Lim, dan Naib Presiden 2, Alvin Lim.
Dalam pertandingan ini, anugerah Miss Albatross dimenangi oleh Bridget Go sebagai juara, Dr. May Heong (naib juara) dan Candy Hew (tempat ketiga).
Manakala untuk kategori Mr. Albatross, juara menjadi milik Alex Hee, Eugune Khor (naib juara) dan Elden Soh (tempat ketiga).
Acara ini turut disokong oleh pelbagai jenama termasuk Hello Beauty, Lady B, Vanzo, Vivo, Famous Amos, Hair Atelier, Harley Davidson, KT Machinery & Bearing Sdn Bhd, Semenyih Eco Venture Resort, Vern’s, D’King dan Shining Queen Card.
Must-Watch Video