Pelakon Azhan Rani berkesempatan menziarah aktres Fasha Sandha yang dimasukkan ke hospital sejak beberapa hari lalu selepas mengalami kecederaan di bahagian mata kiri ketika melakonkan babak bersamanya.

Berkongsi perkara itu di laman Instagram, Azhan bagaimanapun menjelaskan dia enggan untuk mengulas lanjut isu berkenaan, sebaliknya meminta orang ramai agar terus mendoakan kesembuhan Fasha.

“40 kali tulis padam tulis padam. Saya tepek je la voice message antara kami semalam. Insya-Allah dia dalam proses recovery dan semakin baik, berkat doa yang tak putus-putus dari semua.

“Maaf saya tak berminat nak ulas apa-apa buat masa ini, biar Fasha sendiri selepas sihat dan pulih seratus peratus yang jelaskan. Buat masa ini saya raikan sahaja apa juga pandangan, kecaman atau tomahan.

“Lepaskan sahaja pada saya andai itu boleh melegakan. Cuma jangan lupa titipkan doa buat sparing partner saya Fasha agar dia kembali pulih macam selalu,” katanya.

A post shared by Azhan Rani (@azhan_rani)

Pada hantaran sama, Azhan turut memuat naik rakaman suara daripada Fasha yang berkata dirinya tidak menyalahkan aktor berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian mata.

“Abang jangan risau, orang kata abang tolak saya kuat tapi sebenarnya tak pun. Andaian orang sahaja, mereka yang bukan dalam industri tak tahu pun yang itu bukan tolak betul-betul, hanya acting.

“Saya sebenarnya yang landing tempat salah, tapi benda pun dah jadi. Saya pun tak mahu explain panjang sangat. Saya tak mahu orang salahkan abang, saya akan berikan statement lagu dua tiga hari.

“Sekarang ini tak boleh nak menulis lagi, kalau menulis tulisannya jadi dua. Insya-Allah semua akan getting better bila bengkak dah hilang, doakan ya,” ujar Fasha.

Terdahulu, Fasha dikejarkan ke hospital selepasmengalami kecederaan pada bahagian mata kiri akibat terjatuh ketika melakonkan babak tegang bersama Azhan Rani ketika menjalani penggambaran sebuah drama.

Susulan insiden itu, tulang mata kirinya patah selain bebola mata bengkak selepas terhentak di bucu katil yang tajam.