Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, terpanggil untuk mengulas ringkas kenyataan seorang Ahli Parlimen yang menyatakan Ketua Pengarah (KP) Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, sebagai ‘takut mati’.

Zulkifli menerusi sebuah hantaran di laman sosial rasmi Facebook (FB)nya berkata tujuan beliau memberikan pandangan adalah untuk menjadi renungan bersama.

Beliau turut berharap Ahli Parlimen GPS-Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing tidak bermaksud untuk berkata demikian ketika perbahasan dalam sesi yang berlangsung semalam (Rabu).

[[BACA: "Setiap Yang Bernyawa Itu...” - Dituduh Takut Mati Jika Ke Sabah, Ini Jawapan Balas Dr Noor Hisham]]

“Saya amat berharap, itu bukan maksud sebenar beliau. Mungkin ada penjelasan lanjut daripada beliau. Pun begitu, pandangan saya ini adalah untuk renungan bersama.

“KP Kesihatan sudah buat yang terbaik, sesuai dengan posisi beliau. Jawapan beliau terhadap kenyataan tersebut dalam sesi sidang media petang tadi pun sudah padat dan memadai.

“Saya cuma ingin menambah beberapa noktah penting, sebagai kefahaman semua yang membaca dan mengikut isu ini.

“KP Kesihatan adalah antara individu terpenting dalam usaha memerangi pandemik COVID-19. Saya yakin, kita semua bersetuju bahawa beliau perlu kekal sihat, bersemangat dan terus berjuang bersama-sama semua barisan hadapan demi maslahah negara,” tulisnya.

Tambah Zulkifli lagi, isu ‘takut mati’ seharusnya tidak timbul kerana negara tidak akan berundur dari berjuang untuk keselamatan dan keamanan.

Beliau turut mengaitkan kisah sahabat Rasullullah SAW, Abu Ayyub al-Ansari bersama tentera muslim ketika berdepan dengan tentera Rom yang amat ramai dalam peperangan.

“Kisah ini sentiasa tersemat di hati saya dan menjadi pegangan hidup saya. Sekali kita berjuang, menegakkan prinsip dan kebenaran, apatah lagi perjuangan untuk keselamatan dan keamanan negara, kita tidak akan berundur!

“Saya percaya, itulah semangat KP Kesihatan, jua seluruh barisan hadapan. Tak ada apa-apa yang boleh mengganggu fokus kita dalam usaha ini. Justeru, tidak timbul isu ‘takut mati’,” tulisnya.

Saya terdetik untuk mengulas ringkas kenyataan seorang Ahli Parlimen yang menyatakan Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham...

Posted by Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri on Wednesday, 11 November 2020