Penyanyi Dayang Nurfaizah dan komposer Ajai merupakan dua nama baru yang bakal menggalas cabaran sebagai juri tetap bagi Big Stage 2020 di samping Faizal Tahir.

Selain itu, Neelofa, Caprice dan Michael Ang akan bertindak sebagai ‘Presiden Netizen’, yang membawa suara netizen sebagai satu kelainan bagi musim terbaru ini.

Menurut Dayang, dia mahu berkongsi ilmu dengan kesemua 12 peserta Big Stage musim ini.

“Mulanya saya agak gementar dan bertanya pada diri sendiri, boleh ke saya buat.

“Tapi saya sahut cabaran ini dan mahu ingin berkongsi dengan penyanyi BBNU ini tentang selok-belok industri seni tanahair,” jelas Dayang kepada Gempak.

Bagi Ajai, dia mahu semua peserta Bigstage 2020 menjadi yang terbaik antara semua musim.

“Jangan takut dengan juri kerana kami nak kongsi ilmu dan educate anda semua. Bila keluar, mereka akan jadi yang terbaik antara semua.

“Yang penting pada saya adalah nada dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta,” kata Ajai lagi.

Dayang dan Ajai ditemui ketika sidang media Big Stage 2020 bertempat di The Starling, Damansara sebentar tadi.

Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000.

Bigstage 2020 akan memulakan konsert pertamanya secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 Ogos 2020, jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).