Laman Utama

Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri Meriahkan Festival Nada Danau Di Taman Negara Perak!

gempak
Amri Hassan
25/10/2023
10:51 MYT
Sponsor Banner
Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri Meriahkan Festival Nada Danau Di Taman Negara Perak!
Festival Nada Danau - Alam Sumber Karya yang bakal berlangsung di Hentian Amanjaya Royal Belum Pulau Banding, Taman Negeri Royal Belum, Perak pada 3 dan 4 November depan adalah manifestasi kesungguhan Umar Uzair mengangkat dan membawa karya seni kreatif keluar dari ruang lingkup rijid.
Menerusi festival dua hari itu, Uzair yang juga Pengarah Projek dan Pengarah Persembahan Festival Nada Danau optimis kesungguhannya itu akan mendekatkan lagi masyarakat untuk lebih memahami konsep kepuisian, pengisian sastera dan susastera, sekali gus memberi ruang kepada orang ramai menikmati keindahan bahasa serta budaya kebangsaan.
Penerima anugerah Penyair Muda ASEAN 2015 itu berkata, acara tersebut juga menjadi titik penggerak kepada pengkarya untuk berfikir secara kreatif dan berani keluar daripada kepompong keselesaan.
Meskipun pernah mengusahakan beberapa siri festival berskala besar, penganjuran Festival Nada Danau bagi Uzair, membawa cabaran dan harapan berbeza, terutama dalam memastikan pengisian yang lebih padat, ampuh serta berimpak.

Dayang, Ernie, Bell Ngasri

Secara dasarnya, kata Uzair, Festival Nada Danau merupakan sebuah festival yang menggabungkan pelbagai elemen, termasuk pameran, jualan seni kraf tempatan, pameran haiwan dan alam sekitar.
"Festival ini dihangatkan lagi dengan penganjuran konsert muzikalisasi puisi yang menyatukan penyair dan penyanyi popular tempatan seperti penerima Anugerah Sastera Asia Tenggara 2000, Datuk Dr. Lim Swee Tin; Dayang Nurfaizah; Ernie Zakri dan Bell Ngasri.
"Ia dimeriahkan lagi dengan kemunculan Deklamtor Kebangsaan, Lin Haslinaz, Shirley Idris, Bah Bola, Aryan Andika dan Kumpulan Kesenian Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam persembahan seni kontemporari yang akan dikemudikan Arja Lee serta Zack Kirana.
"Syukur usaha ini mendapat kerjasama akrab daripada Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya, kerajaan Negeri Perak, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Majlis Daerah Gerik dan Belum Rainforest Resort," katanya.

Kejayaan Konsert Puitika Legenda

Bercerita lanjut, Uzair berkata, idea penganjuran Festival Nada Danau tercetus selepas kejayaan Konsert Puitika Legenda di Pulau Langkawi, Kedah pada Julai lalu yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Seni & Budaya, Yang Berhormat Tn. Khairul Firdaus Akhbar Khan.
"Beliau membayangkan sebuah persembahan lebih besar daripada konsert di Panggung Seni Kota Mahsuri itu. Beliau secara peribadi berpendapat, persembahan puisi dan sastera harus disebarkan dengan lebih meluas dalam skala berimpak tinggi dan mencadangkan Taman Negeri Royal Belum sebagai lokasi acara.
"Walaupun agak skeptikal dengan lokasi tersebut, saya dapat membaca impian YB Timbalan Menteri itu yang mempunyai visi lebih terkehadapan iaitu membawa acara ini sebagai produk untuk mempromosikan Perak, sekali gus Malaysia sempena Tahun Melawat Perak 2024 dan Tahun Melawat Malaysia 2025," katanya.
Uzair yakin Festival Nada Danau akan mendapat perhatian masyarakat terhadap usaha pengembangan sastera, puisi dan bahasa kebangsaan.
Usaha itu katanya, terbukti sebelum ini apabila inisiatifnya menggerakkan acara Purwa Puitika di Sungai Batu, Kedah Tua pada 2022 dihadiri lebih 3,000 pengunjung, manakala tiket untuk konsert puisi di Pulau Langkawi pula habis terjual.
"Menerusi festival ini, pengunjung dapat mengenali syair, nazam, gurindam, sajak dan pelbagai cabang puisi yang disampaikan dalam bentuk muzikalisasi.
"Dengan penganjuran acara yang lebih besar, saya yakin perhatian masyarakat terhadap pengembangan sastera, puisi dan bahasa kebangsaan dapat disebar luas dan dijayakan dengan lebih efektif," katanya.
Sepanjang dua hari acara, pengunjung disajikan dengan pengisian seperti Kampung Budaya (bermula dari jam 10 pagi hingga 7.30 malam), selain Kampung Puisi (jam 3-4 petang), Muzika Danauloka (persembahan Dikir Barat: jam 2-3 petang dan Mak Yong: jam 4 - 4.30 petang oleh penuntut UMK), disusuli acara kemuncak iaitu Konsert Nada Danau pada jam 6 petang.
"Meskipun siri muzikalisasi puisi berjaya diadakan beberapa kali tanpa nama besar, tidak dapat dinafikan keberadaan seniman yang mempunyai pengaruh membantu usaha menyebarluaskan sastera dan seni.
"Mungkin kebanyakan yang hadir tidak mengenali dan memahami susastera, namun kehadiran mereka secara tidak langsung dapat memperkenalkan puisi dan sastera serta membuka mata terhadap potensi muzikalisasi sebagai sebuah persembahan yang menarik.
"Saya amat berharap persembahan seni kontemporari ini dapat menampilkan sisi lain setiap artis agar ia tidak menjadi sebuah persembahan yang klise. Seperti dalam Festival Nada Danau, kehadiran Bell Ngasri bukan atas kapasiti sebagai pelawak semata-mata, sebaliknya sebagai aktor berkaliber," katanya.
Uzair turut menyimpan impian untuk melihat arena muzikalisasi puisi dapat berdiri setara dengan festival lain, termasuk mengantarabangsakannya dengan membawa lebih ramai seniman dalam dan luar negara untuk berkongsi idea kreatif yang segar dan terkini.
"Saya juga membayangkan untuk mengadakan persembahan muzikalisasi di lokasi ikonik seperti Planetarium Negara, Taman Burung Kuala Lumpur dan Zoo Negara, selain impian untuk beraksi di Dewan Filharmonik Petronas," katanya.
Festival Nada Danau turut mendedahkan pengunjung kepada memupuk pemeliharaan, kajian dan pemuliharaan alam semula jadi serta keprihatinan terhadap spesis terancam, pencemaran dan perubahan iklim dalam menyokong usaha konservasi WWF-Malaysia.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live