Pelakon Pekin Ibrahim mendedahkan yang dia perlu bergaul dengan orang kampung ketika menjalani penggambaran filem Gemencheh Boys bagi membolehkan dirinya menguasai loghat Negeri Sembilan dengan lebih mudah.

Ujar Pekin, sungguhpun agak sukar, namun, demi watak Cikgu Azman, dia sanggup mengambil masa dan melakukan kajian terhadap loghat berkenaan.

“Sebagai seorang anak jati Kelantan, agak susah nak kuasai loghat Negeri Sembilan. Sikit-sikit tahu, tapi untuk bertutur macam orang Negeri Sembilan memang agak payah.

“Jadi, selain meminta bantuan Cikgu Azman sendiri, saya bergaul dengan orang kampung di sekitar lokasi penggambaran untuk memahirkan penguasaan loghat Negeri Sembilan, selain melihat macam mana mereka bergaul dan berborak,” katanya kepada Gempak.

Sebuah adaptasi daripada peristiwa sebenar, Gemencheh Boys menampilkan kisah inspirasi sekumpulan budak kampung yang berjaya menempa sejarah dalam dunia sukan antarabangsa.

Filem ini diceritakan dari kaca mata atlet kriket kebangsaan, Shafiq Sharif yang mewakili Malaysia untuk Piala Dunia Kriket pada tahun 2019 serta berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017.

Gemencheh Boys dengan tagline ‘no retreat, no surrender’ memaparkan kisah kanak-kanak dari kampung yang digelar sebagai ‘Enam Jahanam’. Terkenal dengan sifat nakal, bagaimanapun karakter mereka berubah apabila guru disiplin mereka, Cikgu Azman memperkenalkan permainan kriket.

Menampilkan tema persahabatan, pengorbanan dan harapan, perjalanan pelajar-pelajar ini bersama gurunya menuju ke gelanggang dunia diceritakan dalam pelbagai emosi.

Selain Jason, yang juga pemenang Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia 2017, Gemencheh Boys turut mendapat sentuhan Eric Ong.

Filem ini membariskan pelakon Pekin Ibrahim serta enam pelakon kanak-kanak yang dipilih melalui sesi uji bakat iaitu Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq sebagai tonggak utama.

Turut membintangi filem ini Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Farah Ahmad, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin dan Arumugam A/L Vedan.

Membabitkan kerjasama Astro Shaw dengan GV Corporate Advisory dan SOL Pictures, Gemencheh Boys bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 Oktober ini.

BACA: Ini Sebab Kenapa Cikgu Azman Sebak Ketika Menghadiri Tayangan Perdana Gemencheh Boys​