Sejak semalam, viral di media sosial mengenai sekeping gambar menunjukkan gelagat aneh seorang lelaki membawa alat pernafasan buatannya sendiri.

Ada yang mendakwa gambar berkenaan berlaku di luar negara, namun hakikatnya ia terjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Difahamkan, lelaki berkenaan sebenarnya seorang warga asing dan telah hadir menerima vaksin di PPV dua hari lalu.

Perkara itu disahkan Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mansor Ismail.

"Ya, betul lelaki warga asing itu hadir untuk menerima suntikan vaksin di PPV Kompleks Sukan LADA dua hari lalu.

"Difahamkan dia dapat panggilan untuk menerima suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera," katanya.

Menurutnya, ketika tiba di kaunter pendaftaran dan menerima suntikan, lelaki itu berpakaian biasa dan lengkap dengan pelitup muka.

"Sebaliknya ketika berada di sesi pemantauan, dia dipercayai mengeluarkan alat itu dari beg dibawanya sebelum mengenakan pada muka dan kepalanya.

"Berdasarkan pengakuan yang diberikan kepada petugas kesihatan, lelaki itu tidak mengalami sebarang penyakit berkaitan pernafasan.

“Tak pasti apa tujuan lelaki itu berbuat demikian sehingga menarik perhatian ramai,” katanya menerusi Harian Metro.