Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

“Dia Rasa Dia Boleh Buat, Tapi Bila Masuk Set…”- Zul Ariffin Sependapat Dengan Ruzaidi, Pelakon Baharu Perlu Ada Asas Pertarungan

Asyraf Roslan
31/08/2024 21:55 MYT
Pelakon, Zul Ariffin menyatakan pendapat yang sama seperti pelakon dan koreografer seni mempertahankan diri, Ruzaidi Abdul Rahman bahawa pelakon baharu masa kini tiada asas untuk melakukan aksi mempertahankan diri dengan betul.

Fizikal Bagus Tapi Tak Berfungsi


Menurut Zul atau nama sebenarnya Zulklifi Ariffin,38, tidak dinafikan ramai ke gimnasium untuk mendapatkan bentuk badan yang menarik namun apabila beraksi di hadapan kamera, fizikal itu tidak digunakan sebaiknya.

“Kita lihat begini, ramai yang ke gim untuk buat badan, dapatkan fizikal yang bagus tapi fizikal itu tidak berfungsi.

“Apa yang Wak Didi (Ruzaidi) cakap itu betul. Sebab semua lelaki mahu berlakon cerita aksi. Pelakon lelaki suka buat aksi tetapi itu yang dia rasa dia boleh buat.

"Tapi, bila masuk set lain pula jadinya. Tak boleh buat, nak kata apa?” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Badan Cantik, Muka Handsome Tapi Tak Boleh Berlawan" - Ruzaidi Masih Belum Nampak Pelapis Filem Aksi

ARTIKEL BERKAITAN: Akui Hero Lama Sukar Dapat Watak Utama, Ruzaidi Abdul Rahman Anggap Tahap Kesihatan Jadi Faktor - “Kalau Nak Tahu, Saya Seorang Yang Protes…”

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau Ada Jodoh Dengan Zul Ariffin Ada, Kalau Tiada Maka Tidak Ada” - Gayatri

ARTIKEL BERKAITAN: "Daripada Dulu Mak Saya Memang Sayang Dia" - Raya Bersama, Zul Ariffin Anggap Gayatri Seperti Keluarga Sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah Ditegur Ketika Kunjungi Al Ula, Zul Ariffin Kongsi Kisah Di Sebalik Lawatannya Ke Kota Itu

Set Bukan Sekolah Untuk Pelakon

Pada masa sama, pelakon filem Sheriff: Narko Intergriti itu juga berpendapat, set penggambaran bukanlah sekolah untuk pelakon.

"Set ini sebenarnya bukan sekolah lakonan. 'Tangkap' secepat mungkin, nanti perlahan-lahan adalah kemajuan.

"Tapi, kalau nak tunggu kemajuan kamu dan orang kena tunggu sejam, habislah. Tidak manis begitu.

"Bukan semua orang boleh terima. Ada orang yang boleh santai, tetapi ada juga sesetengah yang nak cepat.

"Perkara-perkara seperti itu boleh memberikan tekanan dan kamu kena gilap kemahiran kamu secepat mungkin.

"Saya pun tak ada asas seni bela diri, tapi saya mengambil inisiatif dengan melakukan latihan. Sebagai contoh MMA, untuk lakonan saya dalam filem Sangkar," jelasnya.


Zul berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran filem Sheriff: Narko Intergriti baru-baru ini.

Dalam pada itu, Zul yang sudah 16 tahun berkecimpung dalam industri seni juga menasihatikan pelakon baharu lakukan sebaiknya apabila diberi peluang untuk membintangi sesuatu naskhah.

Menurutnya, bintang-bintang muda yang baru meningkat naik harus menganggap ini sebagai satu karier yang serius dan bukannya sekadar suka-suka.

“Kalau kita tak mahu buat persediaan, nanti jangan keluarkan kenyataan seperti mahu berlakon filem aksi tapi tiada yang mahu ambil saya.

“Nak panggil kamu, kamu siapa? Janganlah sampai keluar kenyataan seperti itu.

“Ramai pelakon yang bila dah bosan kau main celup kaki. Bila dah tak ada duit kau datang berlakon lepas dua tiga tahun.

"Ini bukan tempat melabur. Treat your career like your career, buat yang terbaik,” tegasnya.

Terdahulu, Ruzaidi sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tiada pelapis pelakon aksi, dan sekiranya ada, semua itu kurang menepati kriteria.

#pelakon #Zul Ariffin #Hero #Aksi