Penyanyi Sufian Suhaimi mendedahkan dirinya kini sedang mengenali hati budi seorang wanita sejak setahun lalu.

Kata Sufian, 31, wanita tersebut bukan datang daripada kalangan selebriti dan dia merupakan seorang pelajar yang ketika ini sedang melanjutkan pengajian di sebuah institusi tempatan.

Bagaimanapun kata penyanyi itu, dia tidak mahu mengulas lebih mengenai teman istimewanya itu.

“Daripada sudut kehidupan sekarang semakin balance, ada masa untuk keluarga, ada masa untuk peribadi, kerjaya serta anak juga.

“Saya sedang mengenali hati budi seseorang dan apa yang boleh saya kongsikan dia adalah orang biasa bukan daripada kalangan selebriti. Kami kenal tahun lepas.

“Dia seorang student, berasal dari Selangor juga. Tetapi sebenarnya saya kalau boleh tak ingin kongsikan sangat mengenai dia,” katanya kepada Gempak.

Sufian berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media lagu terbaharunya berjudul Budi duet bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta yang berlangsung di Universal Music Malaysia pada Rabu.

Pun begitu, tambah pelantun lagu Di Matamu itu fokusnya ketika ini adalah mengenai kerjaya seninya dan tidak mahu kisah cinta menjadi topik utama umum.

“Saya tak mahu sangat bercerita mengenai dia, Ini kerana fokus saya dan apa yang ingin di ketengahkan ketika ini adalah kerjaya seni saya.

“Bukan memilih untuk berahsia daripada mana-mana pihak, cumanya tak mahu ia menjadi tajuk utama tentang saya.

“Lebih baik orang mengenali saya dengan karya-karya terbaharu saya. Lagu, lakonan dan sebagainya yang latest tentang saya,” tambahnya.

Untuk info, lagu Budi kini sedang menduduki Carta Era 40 dan Carta Suria Top 40. Manakala muzik videonya pula sedang menduduki tangga ke-16 di YouTube Music Trending.

Lagu Budi sudah boleh didengari di semua digital platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.