Gaya Hidup
Dianggap Rasis, Fashion Show Dolce & Gabbana Kena Boikot
Jenama antarabangsa Dolce & Gabbana terpaksa membatalkan pertunjukan fesyen jenama itu di China susulan tuduhan perkauman yang dilemparkan ke atas mereka.
Perkara itu berlaku selepas satu video kempen persembahan fesyen tersebut yang dilancarkan menimbulkan perasaan kurang senang penduduk China.
Video kempen yang dilancarkan dengan durasi kurang seminit itu turut mendapat kecaman orang ramai dan artis di China hingga mereka mengambil keputusan memboikot pertunjukan fesyen itu.
Dalam video yang dimuat naik di laman sosial Instagram jenama tersebut menunjukkan seorang model wanita China anggun mengenakan busana Dolce & Gabbana seolah-olah mengalami kesukaran menggunakan penyepit (chopstick) untuk menikmati piza, cannoli dan spageti.
Kempen DG Loves China itu telah dilancarkan di Instagram sejak seminggu lalu dan ratusan pengikut mereka di laman sosial itu menyatakan kekecewaan ke atas jenama tersebut.
Malah salah satu pengguna Instagram 'diet prada' memuat naik satu tangkapan skrin bahawa pereka fesyen Stefano Gabbana menggelar China sebagai negara yang jijik.
Bagaimanapun, Gabbana menafikan ada mengeluarkan kenyataan itu dan mendakwa akaun Instagramnya telah digodam.
Gabbana menjelaskan dia amat menyukai China dan budaya masyarakat itu.
Must-Watch Video