Penyanyi Aina Abdul memohon agar segelintir netizen berhenti membuat perbandingan dirinya dengan penyanyi tersohor negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Biarpun masing-masing mempunyai hak untuk bersuara namun Aina mendedahkan komen negatif terhadapnya itu telah memberi kesan yang mendalam kepada peminatnya.

“Bawa-bawa la bertaubat di bulan Ramadan. Mereka mempunyai hak untuk bercakap apa saja mereka nak, mereka ada pendapat mereka sendiri… saya hormat itu.

“Tapi kita kenalah berpada-pada la. Sekarang ini banyak isu melibatkan kesihatan mental dan sebagainya. Kadang-kadang saya tak terasa tapi peminat saya yang lagi sedih.

“Peminat saya memang ada yang jenis yang walaupun komen itu terhadap saya, tapi mereka yang menangis,” kata Aina kepada Gempak.

Aina ditemui ketika sidang media memperkenalkan juri, hos dan peserta program Big Stage 5 yang diadakan di Regal Space, Petaling Jaya baru-baru ini.

Sementara itu, juri tetap Big Stage 5 ini juga memohon agar semua pihak tidak mengeluarkan komen-komen yang terlalu negatif sehingga melukai orang sekeliling terutama ibunya.

“Banyak hati yang saya nak jaga disekeliling saya terutama Ibu saya yang membaca. Jadi bayangkan la orang cakap macam-macam dekat anak anda,” ujarnya.

Big Stage 5 kini kembali mendominasi pentas bermula 7 Mei depan, setiap Ahad bersiaran langsung selama 10 minggu di Auditorium MBSA, Shah Alam.

Antara yang akan bersaing dalam Big Stage 5 adalah Isaac Voo, Firdaus Rahmat, Meer Nash, Naufal Azrin, Aufahanie, Puteri Khareeza, Putera Muhammad, Nadeera Zaini, Dem Lepak Boyz (Duo) serta kumpulan M-pop perempuan, COEX yang terdiri daripada Mikaela Qistina, Amy Loh, Dalini, Eyqa Shahidan dan Elysha Khan.

Seramai sepuluh daripada mereka telah dipilih daripada Malaysia manakala empat bintang lain yang turut tersenarai adalah peserta daripada Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Korea Selatan yang akan diperkenalkan pada konsert minggu pertama kelak.

Manakala bangku juri tetap turut dirombak dengan pengenalan Aina Abdul sebagai juri tetap dan seorang juri lagi akan diperkenalkan di konsert minggu pertama.

Penampilan pengacara hebat Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom juga menjadikan program realiti itu bertambah menarik dan gandingannya juga akan diumumkan di konsert minggu pertama.