Dua video siaran langsung yang berada di saluran Youtube Lofi Girl terpaksa dihentikan baru-baru ini atas alasan laporan hak cipta yang dibuat oleh syarikat rakaman tempatan, FMC Music.

Perkhabaran tersebut diumumkan sendiri oleh pemilik akaun emnerusi perkongsian Twitter hujung minggu lalu.


Menerusi ciapan berkenaan, pemilik akaun tersebut menjelaskan yang dia menerima laporan pelanggaran hak cipta daripada Youtube yang dibuat oleh FMC Music Sdn Bhd Malaysia dan akan cuba menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.

Namun, selepas siasatan dibuat, ternyata laporan tersebut adalah palsu. Pihak Youtube menyedari hal berkenaan selepas dua video Lofi Girl, ‘lofi hip hop radio - beats to relax/study to’ dan ‘beats to sleep/chill to’ telah dipadam selepas laporan berkenaan dibuat.

Youtube kemudian menyampaikan permohonan maaf menerusi Twitter, dan memaklumkan bahawa ada yang telah menyalahgunakan sistem aduan yang telah disediakan oleh platform perkongsian video berkenaan.

Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen melahirkan rasa marah dan ada juga yang meluahkan rasa malu dengan ‘tindakan’ FMC Music tersebut. Menurut mereka, tiada satu pun lagu Melayu yang distrim oleh Lofi Girl sehingga dua video berkenaan dihentikan siarannya.

Sementara itu, wakil FMC Music, Encik Ho ketika dihubungi berkata, pihaknya baru menyedari tentang hal berkenaan hari ini, apabila masing-masing masuk semula ke office selepas bercuti.

“Kita tak masuk office sebab cuti dan baru hari ini kita dapat tahu mengenai perkara berkenaan. Kita dah buat report dekat Youtube dan submit semua dokumen yang diperlukan.

“Kami syak hacker yang godam akaun kami dan buat laporan hak cipta itu. Sebab FMC hanya buat muzik tempatan dan kami tidak buat sebarang muzik antarabangsa.

“Sekarang ini, kami tidak boleh buat apa. Kami hanya tunggu keputusan daripada Youtube untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Gempak.

Sekadar informasi, Ini bukan pertama kali Lofi Girl terkena serangan laporan hak cipta palsu. Dua tahun lalu, Youtube memadam saluran berkenaan kerana pernah dianggap melanggar Persyaratan Layanan.

Untuk rekod, dua video yang dipadam oleh Youtube tempoh hari sudah pun ditonton lepas 790 juta kali.