Pelakon popular, Rashidi Ishak berasa tidak selesa dengan pelbagai gelaran yang diterima selepas keretakkan rumah tangganya bersama bekas isteri, Vanidah Imran.

Menurut Rashidi, antara gelaran yang diterima dari orang ramai adalah 'eligible bachelor' dan duda berhias.

"Selepas bercerai, ada segelintir pihak yang menggelar saya dengan beberapa gelaran seperti eligible bachelor dan duda berhias.

"Sejujurnya, saya tidak selesa digelar sebegitu, biarlah saya terus move on dari apa yang telah berlaku," ujar Rashidi.

Dalam pada itu, bercakap mengenai pendapat orang ramai yang mengatakan penampilannya lebih segak selepas bercerai dengan susuk tubuh yang lebih kurus, Rashidi menjelaskan dia sudah lama aktif dengan aktiviti kecergasan sejak zaman berumah tangga lagi.

"Berat badan saya turun sejak dua tahun yang lalu sejak saya aktif menyertai larian marathon dan berlari sejauh 5 kilometer setiap hari.

"Jadi itulah sebab sebenar penurunan berat badan saya, bukanlah ia turun mendadak selepas saya bercerai," katanya kepada Gempak.

Rashidi berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan media filem lakonan terbarunya iaitu Bu yang akan menemui penonton bermula 11 April ini.

Rashidi mulai aktif di industri hiburan tanah air pada tahun 1996 dan berjaya mengekalkan popularitinya menerusi lakonan dalam filem serta drama tempatan.